GERGASI Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal melaungkan amaran bahawa kelab utara London itu bertekad mencabar kejuaraan musim ini apabila merekrut Albert Sambi Lokonga dari kelab liga Belgium, Anderlecht.
Menurut pengendali The Gunners, Mikel Arteta, pengrekrutan pemain tengah skuad Bawah 21 Belgium tersebut secara tidak langsung akan memberi lebih kreativiti kepada bahagian nadi kelab berkenaan dalam mencipta jaringan.
"Albert Sambi Lokonga merupakan seorang pemain bijaksana yang mempamerkan kematangan dalam gaya permainannya sepanjang proses pembangunan kariernya dibawah asuhan Vincent Kompany dan barisan kejurulatihan Anderlecht.
Kompany memaklumkan kepada saya mengenai potensi diri dan impak positif dimiliki Sambi Lokonga sepanjang bersama Anderlecht.
"Kami di Arsenal percaya Sambi Lokonga sudah cukup bersedia untuk cabaran baharu liga Inggeris, dan sejujurnya kami teruja menerimanya sebagai ahli keluarga besar Arsenal," katanya.
Bagaimanapun, kelab tidak mendedahkan jumlah yuran perpindahan dari Lotto Park ke Stadium Emirates itu, namun media tempatan melaporkan perjanjian bernilai 15 juta pound untuk khidmat pemain berusia 21 tahun tersebut.
Lokonga mula menyingkap tirai senior bersama Anderlecht pada 2017 selepas melalui proses pembentukan karier di akademi remaja sebelum tampil dengan 26 penampilan dalam pelbagai pertandingan pada saingan musim 2019/20.
Semasa di bawah Kompany, Lokonga berjaya mendapat kepercayaan bekas kapten Manchester City itu apabila tampil dalam 37 perlawanan pelbagai pertandingan dengan tiga gol dan tiga bantuan gol.
Lokonga merupakan pembelian kedua Arsenal selepas berjaya merekrutkan Nuno Tavares dari gergasi liga Portugal, Benfica bulan ini dengan perjanjian dipercayai bernilai 8 juta pound.
Anak buah Arteta yang mengakhiri saingan musim lalu pada kedudukan kelapan liga akan menyingkap cabaran saingan berprestij bola sepak Inggeris 2021/22 tersebut menentang kelab yang baru dinaikkan pangkat dari Liga Kejuaraan, Brentford FC pada 13 Ogos.