Dengkur bukan tanda nyenyak tidur

Iklan
Suami yang berdengkur teruk ketika tidur boleh menyebabkan pasangannya tertekan dan rasa kurang senang. - Gambar hiasan

Awas andainya bunyi dengkuran kuat tidak dirawat awal, ia boleh menimbulkan komplikasi berbahaya

KAJIAN Yayasan Tidur Kebangsaan Amerika Syarikat sebelum ini merekodkan bahawa lebih 6 juta rakyat Malaysia menghidap masalah tidur berdengkur atau Obstructive Sleep Apnea (OSA).

Apa sebab-sebab dengkur boleh terjadi? Seorang pakar perubatan tempatan merumuskan, salah satunya mempunyai perkaitan rapat dengan trend hidup manusia zaman kini.

Iklan
Iklan

Antaranya yang ditekankan ialah gaya hidup yang tidak sihat termasuk masalah obesiti. Selain itu, tabiat merokok berlebihan, tidak cukup tidur lantaran rutin harian yang kucar-kacir termasuk kurang bersenam juga boleh menjadi penyebab dengkur yang serius.

Turut menjadi kerisauan ialah apabila kanak-kanak kecil juga tidak terlepas daripada fenomena dengkur. Justeru, bagi mendapatkan merungkai isu ini, Sihat:Aktif mendapatkan pandangan beberapa pakar untuk mengulas mengenainya.

Iklan

Berdengkur tetapi tidak cukup tidur

MUHAMMAD ARIF ZAINAL, 41, atau Arif merasakan ada sesuatu yang tidak kena pada dirinya sejak dua tahun lalu. Lebih merisaukan, masalah itu semakin serius akhir-akhir ini.

Iklan

Pada mulanya, beliau menyangka dirinya yang acap kali mengantuk melampau pada waktu siang hingga tertidur umpama orang 'tidak sedar diri' dengan 'pakej' berdengkur, merupakan satu perkara biasa.

Arif. - Gambar hiasan

Begini keadaan yang dialami Muhammad Arif. Pada siang hari, ketika sedang membaca waima sedang berbual, menonton televisyen atau melabuhkan punggung di kerusi, lelaki ini boleh tertidur. Perlakuan luar biasa itu, ada kalanya ditegur oleh rakan sekerjanya.

"Biarpun isteri dan rakan-rakan beritahu yang saya kelihatan tidur dengan sangat lena, namun, pada hakikatnya, itu yang bukan saya alami. Sebaliknya, saya sebenarnya merasakan diri ini memang tak cukup tidur.

"Paling teruk disebabkan tidak nyenyak, saya hampir tertidur ketika sedang memandu. Mujur cepat tersedar sebelum kemalangan," kongsinya dengan Sihat:Aktif baru-baru ini.

Apa kata isterinya? Kata Arif, beliau sudah lali mendengar bebelan pasangannya yang tidak tahan mendengar dengkurannya. Teman sekatilnya itu juga mengadu tertekan hingga sukar mahu tidur. Situasi ini, sedikit sebanyak menjejaskan hubungan suami isteri.

Arif memberitahu Sihat:Aktif, lantaran tidak cukup tidur juga, beliau selalu rasa pening kepala.

"Sudah pasti keadaan ini menjejaskan prestasi kerja, itu belum ambil kira sindiran dan jadi 'bahan' kawan-kawan. Saya tertanya, adakah dengkur saya ini dan masalah berkaitan merupakan satu penyakit?," soalnya.



Siapa kuat dengkur?

Sebelum pergi jauh, Sihat:Aktif akan memberi definisi tentang bagaimana dengkur atau obstructive sleep apnea (OSA) boleh terjadi.

Berdengkur sebenarnya datang dari bunyi bising semasa bernafas, apabila sebahagian daripada saluran pernafasan atas seseorang tersumbat.

Ia berlaku apabila terdapat sekatan pada aliran udara di dalam saluran pernafasan pada bahagian belakang mulut dan hidung seseorang.

Bunyi itu dikeluarkan apabila tisu di atas saluran pernafasan bergesel dan bergetar di antara satu sama lain. Berdengkur bertambah kerap mengikut umur dan biasanya tidak membahayakan.

Berbalik kepada persoalan Arif tadi, Konsultan Pakar Bedah Telinga, Hidung dan Tekak, Pusat Perubatan Prince Court, Datuk Dr Kuljit Singh ada jawapannya.

Dr Kuljit Singh

Beliau menerangkan, masalah dengkur bukanlah penyakit tetapi ia menunjukkan simptom ke arah itu.

Menurutnya, sekiranya bukan dengkuran biasa, beliau bersetuju kesan di sebaliknya lebih berbahaya daripada masalah akibat merokok dan obesiti.

"Sebenarnya, dengkur serius sering dikaitkan dengan jantung dan pernafasan iaitu apnea tidur (sleep apnea) bermaksud berhenti bernafas sementara terutamanya semasa tidur. Jika tak dirawat, ia boleh sebabkan masalah jantung dan paru-paru," katanya.

Adakah terdapat kategori dengkur yang berbahaya? Dr Kuljit berkata, semuanya ditentukan menerusi 'ujian tidur' yang hanya merujuk kepada skala ringan, sederhana atau teruk.

Biarpun ada yang berpendapat kira-kira 50 peratus rakyat di negara ini mengalami masalah dengkur, Dr Kuljit berkata, belum ada kajian tepat tentang bilangan rakyat di Malaysia mengalami masalah itu.

Lelaki atau perempuan yang kuat berdengkur? Bagi pakar ini, sama saja untuk kedua-dua gender. Malahan beliau menyifatkan, ia boleh berlaku pada mana-mana lingkungan umur.

Bagaimanapun, berdasarkan penyelidikan Pertubuhan Kesihatan Sedunia, 15 peratus orang dewasa berusia 30 hingga 70 mengalami masalah dengkur. Peratusan tertinggi adalah merujuk kepada kaum lelaki yang berusia 40 ke atas.

Kanak-kanak berdengkur Pernah terdengar kanak-kanak berdengkur? Ia memang bukan pelik.

Mengulas situasi itu, Dr Kuljit memberitahu, hal demikian terjadi disebabkan tonsil, adenoid atau pertumbuhan gigi yang kurang baik dalam kalangan budak kecil.

Pakar Perunding Perubatan Keluarga, Timbalan Pengarah (Primer) Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga, Kementerian Kesihatan, Dr Nazrila Hairizan Nasir juga menghulurkan pendapat.

Dr Nazrila Hairizan

Ujar beliau, dengkur kanak-kanak lazimnya terjadi kepada mereka yang berusia seawal usia empat tahun.

"Sama seperti dewasa, kadangkala ia disebabkan masalah obesiti atau leher pendek. Jika dengkuran ini biasa saja, terjadi sekejap kemudian hilang, mungkin disebabkan terlalu penat atau salah posisi, kita tak risau sangat.

"Apa dikhuatiri dengkuran teruk sleep apnea hingga berhenti bernafas lebih 10 saat buat seketika sewaktu tidur. Sleep apnea boleh membahayakan diri dan perlu rawatan lanjut," jelasnya.

Apa dimaksudkan dengkuran teruk? Berikut penerangan Dr Nazrila:"Dengkuran teruk bermaksud mereka yang berdengkur pada mana-mana kedudukan atau mengganggu orang lain. Mereka yang jatuh dalam kategori ini sepatutnya mencari khidmat nasihat perubatan.

"Pakar berkaitan akan memeriksa hidung, mulut, tekak, lelangit dan leher mereka nanti," ujarnya.

Senada dengan Dr Kuljit, Dr Nazrila berkata, ‘ujian tidur’ perlu bagi mengenal pasti tahap keseriusan dengkuran dan kesan kesihatan.

"Rawatan kemudiannya bergantung diagnosis yang dibuat sama ada disebabkan oleh alahan hidung, jangkitan, kecacatan atau masalah tonsil dan adenoid," katanya.

Terdahulu, Dr Kuljit memberitahu, penggunaan sebarang krim dan sebarang alat di pasaran yang didakwa dapat mengatasi masalah dengkur kebanyakannya tidak diketahui kesan jangka panjang.

Beliau berkata, sepatutnya terdapat data diterbitkan untuk membuktikan keberkesanannya.

"Hari ini, rawatan pergigian juga perlu kerana ia juga merupakan masalah dalam sleep apnea," katanya.



Dengkur undang penyakit darah tinggi, serangan jantung, strok

SEORANG wanita berusia 30 tahun bukan sahaja tidak aktif malah tidak menjaga pemakanannya. Beliau juga mengalami isu tidur hingga prestasi kerjanya turun mendadak.

Ketika hadir membuat pemeriksaan, pesakit yang bekerja sebagai kerani ini dikategorikan sebagai obes (BMI 29). Lebih menyedihkan, beliau mempunyai tonsil besar (tahap 3).

Keputusan 'ujian tidurnya' pada tahap sederhana. Pakar menasihatkannya supaya menurunkan berat badan dan melakukan pembedahan tonsil.

Selepas semua nasihat itu dipatuhi, gejala dengkur yang dideritainya hampir tiada.

Itu salah satu kes yang dikendalikan didepani Pegawai Perubatan Sarjana Otorinolaringologi (Telinga Hidung dan Tekak) di Jabatan Otorinolaringologi-Surgeri Kepala dan Leher, Hospital Universiti Sains Malaysia, Dr Mohd Shaiful Nizam Mamat Nasir.

Dr Mohd Shaiful

Menurut Dr Mohd Shaiful, melalui 'ujian tidur', doktor akan menentukan rawatan dengkur sama ada hanya melalui pembedahan, memakai alat continuous positive airway pressure (CPAP) sahaja atau kedua-duanya.

"Setakat ini, semua pesakit dirujuk kepada kami kebanyakannya ada perubahan dari segi kekerapan dengkur dan kecergasan aktiviti harian selepas pembedahan. Yang paling berjaya ialah golongan kanak-kanak yang dirujuk (sebab masalah dengkur) dan selepas siasatan dibuat, hampir kesemua disebabkan pembengkakan tonsil dan adenoid. Enam minggu selepas pembedahan akan nampak perubahan positif," katanya.

Menurutnya, untuk orang dewasa, ia agak rumit disebabkan terdapat banyak faktor, antaranya kerana kegemukan dan merokok.

Obesiti antara faktor penyumbang masalah berdengkur ketika tidur.

Konklusi beliau berhubung topik Medik kali ini, jangan sesekali pandang remeh masalah dengkur kerana andai tidak dirawat awal, boleh menimbulkan komplikasi seperti darah tinggi, serangan jantung dan strok.

"Jika anda atau pasangan alami gejala obstructive sleep apnea (OSA) segeralah berjumpa doktor ENT (Telinga Hidung dan Tekak)," katanya. -AG

Maklumat grafik menerangkan bagaimana dengkur boleh berlaku.

Perkongsian Dr Mohd Shaiful

Punca-punca obstructive sleep apnea (OSA):

- Kegemukan yang menyebabkan leher pendek dan besar.

-Masalah hidung - tulang hidung bengkok atau polips.

- Masalah tekak - tonsil bengkak, otot lelangit lembut, anak tekak (uvula) panjang.

- Merokok.

- Pengambilan alkohol.

Gejala:Dengkur yang kuat.

- Mengantuk melampau pada waktu siang.

- Pasangan mengadu anda berhenti nafas ketika tidur.

- Letih dan lemah pada siang hari.

- Terbangun akibat tercekik.

- Sakit kepala pada waktu pagi.

Perkongsian Dr Nazrila

Sebab-sebab berdengkur:

- Lemah otot-otot pada lidah, lelangit lembut dan tekak. Apabila otot tidak tegang akibat arak atau ubatan, lidah akan tertolak ke belakang, menutupi aliran udara atau otot tekak tertarik masuk ke dalam tekak dan menyekat salur pernafasan atas.

- Tisu tekak besar dan tebal.

- Berlebihan berat badan dan mempunyai leher yang pendek dan besar.

- Lelangit lembut dan uvula (anak tekak) yang panjang. Uvula panjang akan mengecilkan rongga pembukaan dari hidung ke tekak. Getaran berlebihan dari tisu ini akan mengakibatkan dengkuran.

- Saluran pernafasan tersekat menyebabkan individu lebih kerap menyedut udara untuk bernafas. Ini mengakibatkan ruang vakum berlebihan di dalam tekak dan tisu tekak lembut tertarik ke dalam. Batang hidung yang bengkok, polip dan jangkitan sinus.

Pencegahan/ petua kurangkan dengkuran:Kurangkan berat badan:

- Kurangkan pengambilan arak atau ubatan ada kesan mengantuk pada waktu tidur.

- Cegah pengambilan tranquilizer, pil tidur dan antihistamina sebelum tidur.

- Amalkan tidur pada waktu tetap setiap hari.

- Utamakan posisi tidur mengiring daripada posisi terlentang.

- Tinggikan kepala katil anda lebih kurang 4 inci ke atas supaya posisi kepala lebih tinggi dan lidah tidak tertolak ke belakang.