KUALA LUMPUR - Monsta, syarikat harta intelek dan watak yang menghasilkan pelbagai siri animasi, filem dan produk pengguna sejak lebih sedekad, mengambil inisiatif menerbitkan video pendek melalui siri animasi popular Papa Pipi, mengajak orang ramai mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.
Ketua Jenama dan Jualan Antarabangsa Monsta, Faiz Zainal Aabidin berkata, sebagai sebuah jenama yang begitu sinonim dengan mesej kekeluargaan dan melindungi diri serta yang tersayang daripada ancaman musuh, Monsta menyahut seruan kerajaan menggalakkan penerimaan vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dalam kalangan rakyat Malaysia.
Beliau berkata, usaha itu juga sekali gus bagi mencapai imuniti kelompok dengan kadar segera.
"Virus Covid-19 ini merebak pada setiap detik, maka pengambilan vaksin adalah penting kerana ia berfungsi mencegah penyebaran penyakit berjangkit dan berbahaya.
"Video pendek khas ini memaparkan ragam Papa Zola yang amat takut menghadap jarum dan apa jua jenis suntikan. Namun demi melindungi kesejahteraan anaknya Pipi Zola serta seisi keluarga, Papa Zola menggagahkan dirinya untuk tetap pergi ke pusat pemberian vaksin (PPV) bagi mendapatkan dos suntikan,” katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.
Turut dipaparkan dalam video itu adalah kehadiran datuk kandung kepada superhero tempatan BoBoiBoy iaitu Tok Aba ke PPV berkenaan sebagai antara penerima vaksin dalam golongan warga emas yang berisiko tinggi.
Video pendek tersebut boleh ditonton di saluran Youtube rasmi Monsta atau di halaman media sosial Papa Pipi dan BoBoiBoy dengan tanda pagar #CucukVaksinJadiHero.
Ia turut ditayangkan di stesen televisyen tempatan dan disiarkan di saluran televisyen negara jiran, Indonesia. - Bernama