PORT DICKSON - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang pemandu lori arang batu yang dikhuatiri lemas di Jeti Jimah Power Plant di sini diteruskan pada Selasa.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Negeri Sembilan, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, usaha membawa naik lori yang terjunam ke dalam laut antara yang akan dilakukan.
"Hari ini (Selasa), seramai 38 anggota bomba termasuk 19 dari pasukan penyelamat di air (PPDA) telah meneruskan operasi dengan dibantu 10 anggota daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan 11 daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
"Kita telah gunakan tiga bot termasuk dari Maritim dan APM dengan memfokuskan radius pencarian sejauh dua kilometer dan selaman radius lima meter dari lokasi lori itu terjatuh," katanya kepada media.
Menurut beliau, usaha membawa naik lori dengan menggunakan kren akan dilakukan dan pencarian turut dibuat di sekitar kawasan bawah lori kerana dikhuatiri mangsa tersangkut di situ.
Katanya, ini kerana bomba mendapati cermin bahagian depan dan belakang lori pecah.
"Hari ini kita akan menaikkan lori dan membuat pencarian di bawah lori, mungkin dia (mangsa) berada di bawah lori namun kita masih berusaha untuk mengesan kedudukan mangsa," katanya.
Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan lori dipandu Sharul Nizwan bin Said, 33, dipercayai terjunam ke dalam laut ketika melakukan kerja-kerja pembersihan sisa arang batu di Jeti Coal Unloading Edra Energy Jimah Power Plant Bukit Pelandok.