SANDAKAN - Badan Belia Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (Belia Usia) Bahagian Sandakan dan Beluran membuat laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook menggunakan nama Sally Yen kerana menghina agama Islam di laman sosial berkenaan.
Ketua Belia Usia Beluran Lokman Madlis berkata pihaknya bersama Belia Usia Sandakan membuat laporan tersebut di Balai Polis Sandakan, semalam, agar tindakan diambil terhadap pemilik akaun Facebook itu kerana menyiarkan kenyataan berbentuk penghinaan dan fitnah.
"Kami (Belia Usia Beluran dan Sandakan) mendapat pesanan daripada Ketua Belia Usia Sabah (Anggota Dewan Undangan Negeri Kemabong, Jamawi Jaafar) mengenai hantaran Facebook itu dan memutuskan untuk membuat laporan polis terhadap pemilik akaun terbabit.
"Hantaran di Facebook itu tidak harus dimuat naik kerana ia akan merosakkan keharmonian masyarakat pelbagai kaum dan kepercayaan di negara ini,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Lokman berkata dalam hantaran Facebook itu, pemilik akaun terbabit bukan sahaja menghina Islam sebagai"agama diciplak daripada agama Kristian”, tetapi juga memfitnah Nabi Muhammad SAW dengan perkataan kesat.
Katanya ketua Belia Usia bahagian lain di negeri ini juga dijangka membuat laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook itu.
Beliau berkata Belia Usia mempunyai 26 bahagian di seluruh negeri ini.
Di Kota Kinabalu, Pertubuhan Penyatuan Islam Sabah turut membuat laporan polis agar tindakan diambil terhadap Sally Yen.- Bernama