KANGAR - Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man mengingatkan rakyat negeri itu agar tidak leka dan alpa dalam menghadapi ancaman Covid-19 yang masih belum berakhir.
Beliau berkata, setiap rakyat perlu terus berusaha memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 dengan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.
Iklan
Iklan
"Sejak 1 Jun lalu, kita semua akur dengan pelaksanaan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi ataupun ‘total lockdown’ termasuklah Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang masih berkuat kuasa.
"Alhamdulillah, dengan disiplin yang tinggi dalam kalangan rakyat, Perlis telah berjaya melangkah ke Fasa 2 PPN dan insya-Allah, tidak lama lagi ke Fasa 3 PPN,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi laman Facebooknya sempena Hari Raya Aidiladha hari ini.
Mengenai sambutan Aidiladha tahun ini, Azlan mengajak seluruh umat Islam di negeri itu supaya meraikannya secara sederhana sebagaimana tuntutan syariat sesuai dengan keadaan semasa. - Bernama