Dakwaan suntikan vaksin kosong hanya salah faham

Iklan
Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan

KAJANG - Polis mengesahkan menerima laporan penafian daripada pihak Bangi Avenue Convention Centre (BACC) untuk menjelaskan satu ciapan yang tular di halaman Twitter berkenaan dakwaan seorang individu diberikan vaksin kosong di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, laporan dibuat oleh Ketua Pegawai Eksekutif yang bertugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) tersebut pada petang Ahad.

Iklan
Iklan

Menurutnya, hasil siasatan mendapati tiada gambar atau video berkaitan kejadian itu ditularkan dan pihak BACC sendiri sudah menghubungi individu terbabit serta berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan kepadanya.

"Ia merupakan salah faham bahawa lelaki itu menyangka dirinya telah disuntik dengan vaksin kosong tetapi kejadian sebenar, dia telah disuntik dengan vaksin jenis Sinovac,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Iklan

Pada masa sama, hasil siasatan turut mendapati ciapan di ruangan komen di halaman Twitter itu dipercayai dibuat oleh teman wanita penerima vaksin berkenaan sebelum ia tular di media sosial.

Tambahnya, pihak polis bagaimanapun tidak menerima sebarang aduan daripada penerima vaksin tersebut berhubung kenyataan yang dibuat oleh teman wanitanya itu.

Iklan

"Siasatan mendapati ciapan di ruangan komen Twitter tersebut dibuat oleh teman wanita penerima vaksin tersebut yang menyebabkan ia tular dan mendapat pandangan yang negatif daripada masyarakat terhadap perkara ini,” ujar beliau.

Sehubungan itu, kes tersebut disiasat oleh pihak polis di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.

"Orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dalam membuat kenyataan khususnya berkaitan perkara sensitif seperti vaksinasi," katanya.