WALAUPUN prosedur dan langkah pengawalan wabak Covid-19 yang dilaksanakan pada temasya Sukan Olimpik kali ini agak ketat, kem badminton sentiasa berwaspada bagi mengelak sebarang perkara tidak diingini.
Pemain beregu lelaki Aaron Chia mengakui agak risau mengenai keselamatannya di temasya berkenaan, terutama ketika sesi latihan di venue kejohanan di Plaza Sukan Musashino Forest dan perkampungan sukan.
Ia kerana sekiranya mana-mana atlet atau pegawai diuji positif dan didapati kontak rapat, mereka berisiko menjalani isolasi dan tidak dibenarkan bertanding, sekali gus mengorbankan kerja keras dan penantian bertahun untuk beraksi di pentas Olimpik.
Pemain berusia 24 tahun yang membuat penampilan pertama di Olimpik itu berkata, skuad negara sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga seperti mengamalkan penjarakan fizikal, kerap memakai cecair pembasmi kuman dan elak berada di tempat sesak.
"Di sini kita memang risau kerana ada ramai pemain, atlet dari negara lain juga. Prosedur di perkampungan sukan di sini tidak seketat seperti di tiga kejohanan di Bangkok (dua kejohanan Terbuka Thailand dan final Jelajah Dunia BWF) pada awal tahun ini.
"Ketika latihan pula, walaupun kami tidak berkongsi gelanggang, sesi latihan untuk beberapa negara berjalan pada waktu sama di gelanggang berlainan. Jadi kita jaga kita sendiri di sini,” katanya menerusi rakaman audio kepada media.
Semalam, penganjur temasya mengumumkan bahawa mereka telah mengenal pasti sebanyak 61 kes positif berkaitan Olimpik daripada ribuan ujian yang dilakukan. Ia melibatkan 33 warga Jepun dan 28 kes melibatkan peserta dari luar negara.
Berkongsi mengenai ketibaannya bersama kontinjen negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita pada pagi Ahad, Aaron memberitahu, mereka perlu menjalani ujian air liur dan RT-PCR sebelum dibenarkan masuk ke perkampungan sukan.
Aaron yang sempat menjalani latihan di venue menjelaskan, jarak antara venue dan perkampungan sukan agak jauh dan mengambil masa selama sejam untuk perjalanan sehala.
"Jadi, kita kena bersiap sedia dua atau tiga jam sebelum (waktu latihan dan pertandingan) untuk ambil bas pergi sana, agak jauh juga,” tambahnya.
Aaron yang bergadingan dengan Soh Wooi Yik, diundi dalam Kumpulan D bersama pilihan kedua dari Indonesia Hendra Setiawan-Mohammad Ahsan, Choi Solgyu-Seo Seungjae dari Korea Selatan dan pasangan Kanada Jason Anthony Ho-Shue-Nyl Yakura.
Skuad badminton negara turut dibarisi oleh pemain perseorangan lelaki Lee Zii Jia, Soniia Cheah (perseorangan wanita), Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean (beregu wanita) dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (beregu campuran). - Bernama