Polis nafi tidak bertindak laporan kes keganasan rumah tangga

Iklan
Datuk Kamarul Zaman Mamat

ALOR SETAR - Polis Kedah menafikan laporan sebuah portal berkaitan dakwaan mangsa keganasan rumah tangga yang kecewa polis tidak bertindak walaupun sudah membuat lapan laporan sebelum ini.

Menerusi laporan portal terbabit yang disiarkan pada Isnin, wanita itu mempersoalkan lapan laporan polis yang dibuat ke atas suaminya masih belum ada sebarang tindakan.

Iklan
Iklan

Laporan itu tidak termasuk satu laporan polis yang dibuat oleh adik kandungnya.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat menjelaskan, wanita berkenaan menjadi mangsa keganasan rumah tangga selama 12 tahun ketika tinggal bersama suaminya di Sungai Petani.

Iklan

Katanya, polis mengesahkan bahawa pada 4 April lalu kira-kira jam 12.30 malam mangsa membuat satu laporan di Balai Polis Sungai Petani yang pada awalnya bertujuan untuk urusan pembatalan perkahwinannya.

"Kemudian pada 29 April pengadu sekali lagi ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda memaklumkan ingin meneruskan kes dan mahu memohon Perintah Perlindungan Interim (IPO)," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Iklan

Menurutnya, susulan itu kertas siasatan dibuka pada 29 April dan kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan/ 18A Akta Keganasan Rumah Tangga kerana dicederakan oleh suami.

"Anak-anak mangsa yang berusia sembilan dan tujuh tahun juga telah dirujuk ke Pusat Rakaman Kanak-Kanak untuk rakaman keterangan selain dirujuk ke Kaunselor Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah untuk tujuan siasatan," katanya.

Kamarul Zaman berkata, susulan itu dua tangkapan dilakukan pada 3 Mei bagi membantu siasatan dan pegawai penyiasat telah menyerahkan Interim Protection Order (IPO) kepada suspek pada 28 Jun lalu.

"Kertas siasatan telah dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya.

"Kita memohon mangsa menghubungi pegawai penyiasat kes sekiranya terdapat sebarang maklumat atau pertanyaan berkenaan kes berkenaan," katanya.