Pemandu lori maut terbabas

Iklan
Keadaan lori yang dipandu mangsa terbalik dalam kejadian kemalangan KM 7 Jalan Lipis-Merapoh awal pagi Rabu. FOTO:Ihsan PDRM

LIPIS - Seorang pemandu lori maut selepas hilang kawalan sebelum terbabas di Kilometer 7, Jalan Lipis-Merapoh dekat Institut Pendidikan Guru (IPG) Kuala Lipis pada awal pagi Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, mangsa iaitu Mohd Khairudin Anas@Ibrahim, 33 beralamat di Kampung Bukit Merbau Selising, Pasir Puteh, Kelantan mengalami cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, kejadian melibatkan sebuah lori jenis Volvo yang membawa kontena muatan pallet kayu yang dipercayai terbabas dengan sendirinya.

"Siasatan awal mendapati pemandu lori dari arah kilang Rainbow Pallet Padang Tengku dalam perjalanan ke Klang, Selangor.

Iklan

"Apabila sampai di tempat kejadian yang berselekoh, pemandu lori itu dipercayai telah hilang kawalan lalu terbabas ke kiri bahu jalan dan terbalik," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Keadaan lokasi kejadian di KM 7, Jalan Lipis-Merapoh pada awal pagi Rabu yang meragut nyawa seorang pemandu lori. - Foto ihsan PDRM

Azli berkata, akibat kemalangan tersebut, pemandu yang tersepit telah dikeluarkan dengan bantuan anggota bomba dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan bertugas di lokasi kejadian.

Iklan

"Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat selepas menerima keputusan saringan ujian Covid-19.

"Siasatan lanjut diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," jelasnya.