KUANTAN - Rata-rata penduduk di 13 lokaliti di daerah ini menyambut Hari Raya Aidiladha dalam suasana suram apabila mereka bukan sahaja tidak dibenarkan keluar tanpa sebab yang dibenarkan pihak berkuasa malah kawasan perumahan mereka turut dipasang kawad berduri susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Ahad lalu.
Seorang penduduk di Perkampungan Sungai Isap, Izarra Yasmeen Ibrahim, 32, berkata, ia adalah kali pertama dia sekeluarga menyambut hari raya tanpa kunjung mengunjung seperti sebelum ini.
"Terus terang saya cakap suasananya cukup suram dan sayu apabila hanya beraya bersama anak-anak di dalam rumah sahaja disebabkan PKPD.
"Hari Raya Aidilfitri sebelum ini dapat juga saya menziarah mak ayah di Kampung Razali. Bagaimanapun, tindakan PKPD secara bersasar ini adalah demi kebaikan semua bagi mengelak daripada jangkitan Covid-19," katanya.
Ibu kepada tiga anak itu memberitahu, dia reda dengan apa yang berlaku dan berharap semua penduduk dapat mematuhi peraturan ditetapkan pihak berkuasa bagi memastikan penularan wabak Covid-19 tidak terus berlaku di kawasan mereka.
Bagi Amir Saidon Md Yunus, 58, dari Taman Seri Inderapura pula berkata, dia sudah berdepan dengan situasi PKPD buat kali kedua selepas beberapa penduduk dijangkiti wabak Covid-19 hingga menyebabkan kematian pada tahun lalu.
"PKPD kali ini kebetulan kita sambut Hari Raya Aidiladha dan ibadah korban yang sepatutnya diadakan juga terpaksa dibatalkan jawatankuasa Masjid Ittifaqiah Taman Seri Inderapura (MITSI) yang bimbang berlaku perkara tidak diingini dalam kalangan penduduk setempat.
"Sambutan Aidiladha kali ini seolah-olah suram apabila semua laluan ditutup bagi memastikan tidak ada aktiviti keluar dan masuk ke Taman Seri Inderapura," katanya.
Penduduk Taman Indera Sempurna, Mokhtar Sharif, 54, berkata, Aidiladha kali ini disambut dalam suasana sederhana bersama ahli keluarga di rumah masing-masing.
"Kita hanya duduk di rumah sahaja kerana tidak dibenarkan keluar, semua aktiviti membabitkan penyertaan ramai orang tidak dibenarkan diadakan dan pihak berkuasa juga sentiasa memantau dalam kawasan taman," ujarnya.