516 pemekat oksigen dipasang di PKRC MAEPS 2.0

Iklan
Deretan tong oksigen yang digunakan pesakit Covid-19 di PKRC MAEPS. - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Sebanyak 516 unit pemekat oksigen akan ditempatkan di Dewan A dan C Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Bersepadu 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, yang merawat pesakit Covid-19 kategori tiga dan empat.

Pengarah PKRC MAEPS 2.0, Dr Shahabuddin Ibrahim berkata, langkah itu sebagai persediaan keperluan peningkatan pesakit yang memerlukan oksigen.

Iklan
Iklan

Menurutnya, seramai 1,670 pesakit Covid-19 kini dirawat di PKRC MAEPS 2.0 dengan 1,300 pesakit merupakan kategori tiga manakala bakinya kategori empat.

"Tumpuan warga petugas kita adalah untuk kedua-dua kategori ini," katanya pada Rabu.

Iklan

Kategori tiga merujuk kepada kes radang paru-paru tetapi tidak memerlukan oksigen manakala kategori empat, mempunyai radang paru-paru yang memerlukan oksigen.

Sementara itu, Ketua Jurutera Elektrik Selangor, Haniff Ab Hamid berkata, kerja pendawaian elektrik bagi membolehkan pemekat oksigen itu digunakan dijangka mengambil masa kira-kira 10 hari untuk setiap bahagian kerana kontraktor berdepan dengan risiko ketika menjalankan kerja di dewan yang menempatkan pesakit Covid-19.

Iklan

Beliau berkata, pesakit perlu dipindahkan secara berperingkat ke dewan lain untuk sementara bagi mengosongkan ruangan yang melibatkan kerja pendawaian itu.

"Kontraktor yang terlibat dengan kerja pendawaian juga akan memakai pakaian perlindungan diri (PPE) sebagai langkah keselamatan," katanya. - Bernama