Kita tidak percaya kerajaan PH: Pemuda Pas

Iklan
Himpunan Bantah ICERD berlangsung di Pentas Terbuka MDPP hari ini.
PASIR PUTEH - Seluruh rakyat tanpa mengira fahaman politik mesti bersatu hati membantah ICERD walaupun Perdana Menteri menangguhkannya.

Ketua Penerangan Pemuda Pas Kelantan, Nazman Che Ibrahim berkata, penangguhan itu tidak bererti kerajaan PH bersetuju membatalkannya.

Katanya, himpunan bantah ICERD di seluruh negeri Kelantan tetap diadakan bagi membangkitkan kesedaran rakyat.

"Kita tidak percaya kepada kerajaan PH sebab itulah kita meneruskan bantahan ini, kita berhimpun bukan kerana isu politik tetapi isu ummah.

"Seluruh rakyat akan terancam sebenarnya, bukan ICERD sahaja, lima lagi konvensyen antarabangsa akan melanda negara yang turut mengancam kita semua," katanya.

Menurutnya, jika ICERD tidak dibantah, ia seperti memberi laluan kepada lima konvensyen tersebut ditandatangani Perdana Menteri.

Beliau berkata demikian pada Himpunan Bantah ICERD di Pentas Terbuka MDPP di belakang Pasaraya Pantai Timor di sini, hari ini.