SUNGAI SIPUT - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak menolak kemungkinan faktor keletihan antara punca berlakunya kes vaksin tidak disuntik kepada penerima seperti mana yang ditularkan baru-baru ini.
Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, sehubungan itu pihaknya meminta petugas memaklumkan keadaan mereka jika mengalami keletihan bagi membolehkan penggantian dibuat.
Menurutnya, KKM sentiasa mencari jalan untuk menempatkan anggotanya di lokasi-lokasi yang memerlukan petugas mengikut keperluan bagi memastikan proses vaksinasi berjalan lancar.
"Itu antara kesilapan yang kita lakukan apabila kita terlalu letih. Kita ada staf dan kita boleh mobilize. Ya, memang kita stres dengan masalah sumber manusia tetapi KKM sentiasa berfikir dan mobilisasi di mana tempat yang kurang sibuk pindah ke tempat yang sibuk. Orang berpengalaman pindah ke tempat yang perlukan orang berpengalaman umpamanya.
"Perkara ini amat serius bagi saya. Kalau perkara itu berlaku disebabkan keletihan, dia patut rehat dan kalau perkara itu disengajakan, ini satu perbuatan yang sangat jahat. Tindakan sepatutnya perlu diambil apabila benda itu terbukti," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin Sungai Siput (U), Dewan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) di sini pada Rabu.
Hadir sama dalam lawatan itu, Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming.
Sementara itu, Dr Noor Azmi berkata, isu yang tular mengenai pemberian vaksin kosong itu sedang dalam siasatan sebelum diambil tindakan yang melibatkan tiga kes setakat ini.
Menurutnya, di sebalik usaha kerajaan mempercepatkan proses imunisasi rakyat, kualiti dalam memberikan vaksin itu mesti diberikan keutamaan.
Mengenai isu gangguan seksual di sebuah PPV di Johor, beliau menegaskan bahawa isu seumpama itu tidak seharusnya berlaku ketika semua pihak mahu segera menamatkan pandemik Covid-19.
Katanya, setiap petugas perlu memperbetulkan niat masing-masing dalam usaha memastikan negara mencapai imuniti kelompok dalam masa terdekat.
"Kita semua datang (bertugas) dengan nawaitu yang ikhlas dan niat yang jelas. Kita bekerja bersungguh-sungguh. Harap perkara ini tak berlaku, saya dengar pun sedih kalau orang awam dengar kita bimbang mereka akan takut.
"Pada masa sama, saya nak ucapkan terima kasih kepada sukarelawan dan petugas barisan hadapan. Pengorbanan anda sangat dihargai, sangat diperlukan. Tuhan akan membalas dengan sebaik-baiknya. Niat kita satu, bersatu hati bekerja untuk menyelamatkan kita daripada pandemik Covid-19," katanya.