SEPANG - Sidang Dewan Rakyat yang akan bermula pada 26 Julai ini akan memberi kelonggaraan kepada ahli-ahli Parlimen pada sesi perbahasan.
Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menegaskan, sesi perbahasan tersebut bagaimanapun bukan secara sehala.
"Akan ada pertanyaan boleh dibuat oleh pembangkang kepada menteri-menteri yang diamanahkan untuk menjawab seperti Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA (Movenpick) pada Rabu.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mendesak Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun sebagai ketua majlis memastikan ruang perbahasan dibuka seluas-luasnya kepada ahli-ahli Parlimen sewaktu sidang Dewan Rakyat akan datang.
Anwar yang merupakan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, beliau telah mengutus sepucuk surat berhubung desakannya itu kepada Azhar.
Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fayhsal berkata, tidak ada masalah pertanyaan dibuat oleh pihak pembangkang kepada kerajaan.
"Cuma senggang masa itu terhad buat masa ini dan saya rasa ruang itu masih ada.
"Tidak ada masalah. Cuma bahas sepanjang mana itu saya tidak pasti. Itu tengok peraturan yang akan dikeluarkan nanti dalam Dewan Rakyat pada hari tersebut,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai kelonggaran untuk orang ramai datang ke stadium, Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu berkata, kerajaan belum memutuskan mengenai perkara terbabit.
"Kalau ikut kebiasaan prinsip asas adalah (berdasarkan) gelembung sukan. Kalau di negeri-negeri yang masih di fasa pertama memang tidak boleh langsung penonton (di stadium).
"Pada fasa ketiga nanti boleh jika ikutkan sebenarnya. Fasa kedua ini kelonggaran yang minimum.
"Mungkin kita akan cuba bincangkan dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) keadaan semasa (seperti) negeri-negeri yang tidak tinggi kes Covid-19 kita beri sedikit peratusan (masuk) macam sebelum ini,” jelasnya.