KOTA TINGGI - Seorang warga emas cedera selepas terjatuh ke dalam longkang ketika memanjat pokok nangka di Taman Kota Jaya di sini pada Rabu.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Rafi Mohd Nor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.21 pagi.
Iklan
Iklan
Menurut beliau, seramai 12 anggota dari BBP Kota Tinggi dengan sebuah jentera Fire Rescue Team (FRT) dan sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.
"Dalam kejadian tersebut, mangsa Lim Ah Kow @ Lim Ting Sai, 73, difahamkan sedang memanjat sebatang pokok nangka di kebun di hadapan rumahnya dengan menggunakan tangga, namun tiba-tiba mangsa terjatuh ke dalam longkang sedalam tiga meter tersebut.
"Anggota bomba bertindak menggunakan tali serta pengusung untuk membawa naik mangsa," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Mohd Rafi berkata, mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian kepala dihantar menaiki ambulans ke Hospital Kota Tinggi bagi mendapatkan rawatan lanjut.
"Operasi ditamatkan pada jam 10.42 pagi," katanya.