Piala Sultan Johor edisi ke-10 ditangguh lagi

Iklan
Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor edisi ke-10 yang dijadualkan berlangsung pada September tahun ini dengan disertai lapan negara ditunda lagi.

KEJOHANAN Hoki Piala Sultan Johor edisi ke-10 yang dijadualkan berlangsung pada September tahun ini dengan disertai lapan negara di Stadium Hoki Taman Daya, di sini, ditunda sekali lagi berikutan peningkatan kes pandemik Covid-19.

Presiden Persatuan Hoki Johor, Datuk Majid Manjit Abdullah berkata, kejohanan itu bagaimanapun dijangka dapat diadakan awal tahun depan.

Iklan
Iklan

"Kejohanan sepatutnya berlangsung September ini, jadi kami kena buat keputusan dan memaklumkan kepada negara-negara berkenaan untuk membatalkannya disebabkan pandemik Covid-19.

"Tarikh baharu (kejohanan) dijangka pada awal tahun depan iaitu sama ada Januari atau Februari,” katanya yang dihubungi pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata, lapan negara yang telah mengesahkan penyertaan bagi edisi ke-10 itu adalah Malaysia, India, Australia, Great Britain, Jepun, Afrika Selatan, Mesir dan Kanada.

"Kesemua negara ini telah mengesahkan penyertaan sejak April lagi dan terdapat tiga negara yang pertama kali menyertai kejohanan ini iaitu Mesir, Kanada dan Afrika Selatan,” katanya.

Iklan

Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor edisi ke-10 sebelum ini dijadualkan berlangsung dari 3 hingga 10 Oktober tahun lalu, namun pada 3 Jun tahun lepas kejohanan itu dilaporkan ditangguhkan September tahun ini selepas pihak penganjur mengambil kira keadaan pandemik Covid-19 yang melanda negara dan dunia.