Suspek berusia 29 tahun ditahan ketika menunggang sebuah motosikal oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kota Bharu dalam rondaan penguatkuasaan lalulintas pada jam 6.45 petang.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, pada mulanya suspek yang menunggang motosikal jenis Yamaha 15ZR warna hitam ditahan kerana nombor pendaftaran belakang kenderaannya tidak mengikut peraturan yang dibenarkan.
Menurut beliau, namun pemeriksaan lanjut dijalankan terhadap suspek, polis menjumpai satu beg kecil warna kelabu di dalam raga motosikal.
"Apabila diperiksa, terdapat satu sampul duit raya berwarna biru berisi 199 biji pil kuda, dua biji pil erimin 5 dan dua biji pil berwarna putih disyaki dadah jenis psikotropik.
"Turut dijumpai wang tunai berjumlah RM5,400 dan polis juga merampas dua buah telefon bimbit daripada suspek bagi tujuan siasatan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Abdul Rahim berkata, ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis nimetazipam selain mempunyai lima rekod lampau berkaitan jenayah dadah.
"Polis juga mengeluarkan lima saman kesalahan lalulintas dan spesifikasi motosikal terhadap suspek.
"Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Bharu untuk perintah tahanan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 39(A)(1), 12(2) dan 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.