GEORGE TOWN - Seorang usahawan mengambil inisiatif dengan mengagihkan kira-kira 900 kilogram daging lembu dan kambing korban kepada 100 fakir miskin serta asnaf sempena sambutan Hari Raya Aidiladha menerusi Program Korban Tanda Cinta.
Hajamydin Shahul Hamid, 51, berkata, selain mengagihkan daging korban, beliau dan pasukannya yang dikenali sebagai Shajara turut memberi sumbangan barangan keperluan asas seperti beras, gula, roti serta makanan kering kepada golongan memerlukan dalam menghadapi tempoh sukar pandemik Covid-19.
"Daging korban yang melibatkan dua ekor lembu dan empat ekor kambing serta makanan keperluan ini diberikan kepada fakir miskin dan asnaf di sekitar daerah Timur Laut dan beberapa kawasan di daerah lain.
"Aktiviti ini dilakukan setiap tahun dan kami berharap lebih ramai pihak mengambil kesempatan di hari yang penuh keberkatan ini untuk menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan,” katanya kepada pemberita selepas melaksanakan ibadah korban itu, di sini pada Selasa.
Seorang penerima agihan daging korban berkenaan, Mohd Nazrul Islam, 40, yang merupakan warganegara Bangladesh berasa terharu kerana ada pihak sudi menghulurkan bantuan tanpa mengira kerakyatan.
"Syukur alhamdulillah sebab tidak lupa beri agihan korban kepada saya walaupun saya bukan rakyat negara ini. Pemberian ini amat bermakna," katanya yang berada di negeri ini sejak sembilan tahun lalu.
Sementara itu, seorang penerima sumbangan barangan keperluan harian, M.Thangaletchumi, 63, berkata, inisiatif tersebut amat membantu dirinya yang dicutikan tanpa gaji sejak setahun lalu.
"Kehidupan semakin sukar selepas tidak bekerja. Bantuan seumpama ini dapat meringankan bebanan yang ditanggung," katanya yang merupakan tukang cuci di sebuah syarikat swasta, di sini.
Seorang pekerja restoran, Ooi Lei Ling, 29, pula menyifatkan bantuan barangan keperluan harian itu melegakannya memandangkan pendapatannya dipotong majikan dan terpaksa hidup berjimat cermat bagi meneruskan kehidupan.
"Pendapatan bulanan yang dipotong menyebabkan hidup bertambah sukar sekali gus terpaksa mengikat perut. Bantuan yang diterima ini akan digunakan sebaiknya sementara menunggu gaji seterusnya. Terima kasih kepada pihak yang prihatin," katanya. - Bernama