Covid-19: Indonesia lanjut darurat hingga Ahad

Iklan
Indonesia setakat Selasa mencatatkan lebih 2.9 juta kes positif dengan 550,192 pesakit aktif. - Foto AFP

JAKARTA - Indonesia melanjutkan lagi Pemberlakuan Pembatasan Kegiatan Masyarakat Darurat (PPKM Darurat) sehingga 25 Julai ini, berikutan kes positif baharu Covid-19 masih melepasi angka 35,000 kes sehari.

Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) dalam siaran menerusi YouTube rasmi Sekretariat Presiden berkata, pemerintah Indonesia memperuntukan bantuan sebanyak Rp55.21 trilion kepada masyarakat yang terkesan teruk akibat PPKM Darurat.

Iklan
Iklan

Bantuan itu dalam bentuk wang tunai, bantuan sembako (barangan keperluan asas), bantuan kuota internet dan subsidi penggunaan elektrik serta bantuan intensif sebanyak Rp1.2 juta kepada pengusaha dan peniaga kecil.

Menurut data yang disiarkan di laman Twitter rasmi Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia @BNPB_Indonesia setakat Selasa, Indonesia mencatatkan lebih 2.9 juta kes positif dengan 550,192 pesakit aktif (sedang menerima rawatan).

Iklan

Jumlah kematian harian akibat virus itu terus melepasi angka seribu sehari, dengan jumlah keseluruhan kematian kini meningkat kepada 76,200 orang.

Jokowi berkata, pemerintah bercadang untuk membenarkan kembali aktiviti sosio ekonomi secara berperingkat bermula 26 Julai ini bergantung kepada situasi semasa.

Iklan

PPKM Darurat dikuatkuasakan sejak 3 Julai lalu sehingga 20 Julai (semalam) dan disambung lagi sehingga 25 Julai ini, dengan pelaksanaan ketat protokol kesihatan.

Antaranya penutupan pusat-pusat membeli belah, penerapan 100 peratus bekerja dari rumah bagi sektor kurang penting, penutupan rumah-rumah ibadat, pembelajaran dari rumah sepenuhnya, larangan makan di restoren, kedai makan atau warung dan tempat-tempat atau pusat pelancongan dan rekreasi ditutup, selain larangan merentas provinsi.

Bermula 26 Julai ini, pemerintah Indonesia bercadang untuk membenarkan pasar-pasar tradisional yang menjual barangan keperluan asas beroperasi sehingga jam 8 malam dengan kawalan kapasiti pengunjung sebanyak 50 peratus.

Penjual barangan di kaki lima atau pinggir jalan, kedai gunting dan salon rambut, kedai cucian pakaian, bengkel kenderaan, dan pengusaha kecil dibenarkan beroperasi sehingga jam 9 malam.

Restoran dan kedai makan pula dibenarkan beroperasi sehingga jam 9 malam dan orang ramai hanya dibenarkan berada di tempat itu selama 30 minit sahaja. - Bernama