Cincin RM2.89 juta lesap dikebas ‘pelanggan’

Iklan
Mohd Wazir

KUANTAN - Seorang ‘pelancong’ warga asing hanya mengambil masa kira-kira 20 minit memperdaya jurujual sebuah kedai emas di TSL Sky Avenue Plaza Genting Highlands sebelum melarikan cincin berlian bernilai RM2.89 juta, semalam.

Suspek berusia dalam lingkungan 50-an yang menyamar sebagai pelanggan bertindak licik apabila menukarnya dengan cincin palsu sebelum beredar bersama cincin bernilai jutaan ringgit tersebut.

Iklan
Iklan

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, suspek memasuki kedai berkenaan kira-kira jam 12.50 tengah hari sebelum meminta jurujual berusia 45 tahun tahun itu menunjukkan cincin berkenaan kononnya dia berminat untuk membelinya.

Menurutnya, jurujual berkenaan menyerahkan cincin tersebut sebelum suspek berpura-pura melihatnya dan mengambil masa kira-kira 20 minit sebelum menyerahkan kembali apabila membatalkan hasrat untuk membelinya.

Iklan

"Ketika suspek beredar, jurujual berkenaan menyedari cincin yang diserahkan agak berbeza berbanding cincin asal lalu meminta rakan sekerja menguji ketulenannya dan disahkan palsu.

"Pekerja kedai emas berkenaan cuba mengejar suspek namun gagal lalu membuat laporan polis berhubung kejadian,” katanya.

Iklan

Mohd Wazir berkata, susulan laporan polis berhubung kejadian, pihaknya menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan suspek terlibat.

"Bagaimanapun, setakat ini suspek gagal dikesan manakala identitinya juga belum dikenalpasti.

"Usaha sedang dilakukan bagi mengesan suspek melalui bantuan rakaman Sistem Kamera Litar Tertutup (CCTV) di kawasan berkenaan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.