Covid-19: Thailand terus cecah rekod tertinggi

Iklan
Meskipun langkah sekatan lebih ketat dikuatkuasa, kes Covid-19 di Thailand terus mencatat rekod tertinggi pada Rabu. Gambar hiasan. - Foto 123RF

BANGKOK - Meskipun langkah sekatan lebih ketat dikuatkuasa, kes Covid-19 di Thailand terus mencatat rekod tertinggi pada Rabu dengan 13,002 jangkitan baharu dan 108 kematian dilaporkan dalam tempoh 24 jam.

Setakat ini, jumlah jangkitan keseluruhan di negara berkenaan telah mencecah 439,477 dan angka korban meningkat kepada 3,610, sejak pandemik dikesan Januari tahun lalu.

Iklan
Iklan

Penolong jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Dr Apisamai Srirangsan berkata, kes baharu termasuk 2,971 melalui pengesanan kes aktif, 1,049 banduan dan 31 kes import.

Beliau berkata, kes kematian melibatkan 59 lelaki dan 49 wanita berusia antara 25 hingga 96 tahun termasuk 106 penduduk tempatan masing-masing seorang warga China dan India.

Iklan

Terkini, katanya, 131,411 orang masih dirawat di hospital dengan 3,786 berada dalam keadaan kritikal dan 879 diberi bantuan mesin pernafasan.

"Kadar jangkitan di wilayah timur laut meningkat dengan ketara. Kami mendapati pesakit Covid-19 melakukan perjalanan dari Bangkok ke kampung halaman mereka dan menyebabkan lebih banyak jangkitan... tolong bekerjasama dengan kami, jangan balik kampung kerana katil hospital di wilayah lain juga hampir penuh,” katanya.

Iklan

Bangkok, pusat pandemik terbaharu mencatat 2,921 kes baharu dan 40 kematian.

Sementara itu, Dr Apisamai berkata, lebih banyak tempat dan perniagaan di Bangkok dan 12 wilayah di zon merah gelap akan ditutup selama dua minggu.

Menurut beliau, taman awam, semua padang sukan, kolam renang, perpustakaan, muzium, salun kecantikan termasuk salun rambut dan kuku, kedai tatu akan ditutup.

Buat masa ini, kerajaan mengenakan larangan berhimpun melebihi lima orang dan perintah berkurung dari jam 9 malam hingga 4 pagi di 13 zon merah gelap.

Sementara itu, Jabatan Pengangkutan Darat mengumumkan semua perkhidmatan pengangkutan awam antara wilayah dan penerbangan domestik keluar masuk melibatkan ke zon merah gelap juga digantung selama dua minggu. - Bernama