Penumpang yakin penerbangan dengan pelitup muka lebih selamat

Iklan
Majoriti penumpang berasa yakin dengan keselamatan perjalanan udara dan menyokong pemakaian topeng muka. Gambar hiasan. - Foto 123RF

KUALA LUMPUR - Majoriti penumpang berasa yakin dengan keselamatan perjalanan udara dan menyokong pemakaian topeng muka dalam masa terdekat, menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

Berdasarkan tinjauan IATA yang dibuat beberapa bulan lalu ke atas 4,700 penumpang di 11 pasaran dunia menunjukkan 85 peratus responden percaya bahawa pesawat adalah bersih dan diberi pembasmi kuman, manakala 65 peratus lagi bersetuju bahawa udara di dalam kabin pesawat adalah bersih seperti dalam bilik pembedahan.

Iklan
Iklan

"Antara mereka yang telah melakukan perjalanan sejak Jun 2020, 86 peratus berasa selamat di dalam kapal terbang susulan banyak langkah-langkah keselamatan Covid-19, bahawa 89 peratus yakin langkah-langkah perlindungan dilaksanakan dengan baik dan 90 peratus percaya kakitangan penerbangan melakukan tanggungjawab yang cekap bagi menguatkuasakan langkah-langkah itu,” kata IATA dalam satu kenyataan pada Rabu.

Ketua Pengarah IATA Willie Walsh memberitahu, untuk mengelakkan lapangan terbang menjadi sesak dengan pihak berkuasa kawalan sempadan yang berlebihan, kerajaan perlu menggantikan proses berasaskan kertas dengan penyelesaian digital seperti Pas Perjalanan IATA untuk dokumentasi vaksin dan ujian.

Iklan

"Hampir sembilan daripada 10 responden menyokong idea penggunaan aplikasi mudah alih untuk menyimpan bukti kesihatan perjalanan mereka dan 87 peratus lagi menyokong sistem digital yang selamat bagi urusan pengiktirafan taraf kesihatan.

"Sejumlah 75 peratus responden menjelaskan mereka hanya akan menggunakan aplikasi jika mereka memiliki kendalian penuh ke atas data vaksin atau ujian mereka," katanya.

Iklan

Menurut Walsh lagi, Pas Perjalanan IATA akan membolehkan pelancong menerima, menyimpan dan berkongsi maklumat kesihatan mereka dengan kerajaan atau syarikat penerbangan sambil mengawal maklumat pada peranti mudah alih mereka.

Katanya, hampir dua pertiga responden merancang untuk meneruskan perjalanan dalam beberapa bulan sebaik sahaja wabak itu berjaya dibendung dan sempadan dibuka, sementara hampir 85 peratus merancang perjalanan dalam tempoh enam bulan. -Bernama