Warga asing langgar SOP bukan penduduk setempat

Iklan
Seramai 48 lelaki warga Bangladesh dan seorang lelaki tempatan ditahan bagi membantu siasatan berhubung pelanggaran SOP selepas mengadakan solat sunat Aidiladha di Taman Pelangi di sini pada Selasa.

BUKIT MERTAJAM - Sejumlah lebih 200 jemaah kebanyakannya warga asing yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) apabila mengadakan solat sunat Aidiladha di luar surau Taman Pelangi, Juru di sini didakwa bukan penduduk setempat sebaliknya datang dari kawasan berhampiran.

Seorang penduduk Taman Pelangi yang mahu di kenali sebagai Zam, 40-an berkata, beliau sendiri tidak dibenarkan masuk ke surau kerana sampai lambat dan jumlah jemaah telah mencukupi lalu memutuskan untuk balik ke rumah.

Iklan
Iklan

Katanya, beliau dan penduduk di Taman Pelangi berasa terkilan kerana tindakan warga asing menunaikan solat sunat Aidiladha di kawasan terbuka dan tepi jalan raya di luar surau telah memburukkan nama kawasan tersebut seolah-olah penduduk ingkar SOP yang ditetapkan.

ARTIKEL BERKAITAN: Solat Aidiladha luar surau: KDN minta penjelasan Ketua Polis P Pinang

Iklan

"Kebanyakan warga asing yang pergi ke surau semalam (Selasa) datang dari kawasan berhampiran kerana ramai jiran warga asing yang tinggal di taman ini tidak pergi solat sunat Aidiladha kerana tahu hanya 100 jemaah sahaja dibenarkan mengikut SOP.

"Warga asing yang datang ke surau semalam mungkin salah faham dan ingat sudah boleh solat sunat Aidiladha itu yang datang ramai-ramai," katanya ketika ditemui di sini pada Rabu.

Iklan

Pada Selasa, Polis Pulau Pinang telah menahan 49 lelaki termasuk seorang warga emas tempatan berikutan tular video ratusan individu kebanyakannya warga asing melanggar SOP dengan mengadakan solat sunat Aidiladha di kawasan lapang di situ.

Seorang lagi jemaah surau, Mohd Ali Abdul Rahman, 69, berkata, beliau datang awal ke surau pada jam 8 pagi kerana bimbang surau penuh dan tidak dibenarkan masuk.

"Waktu pakcik sampai pagi semalam, memang tak ramai orang... di luar surau pun tak dak orang lagi, pakcik terus masuk (surau) daftar dan ambil suhu, ikut SOP.

"Surau di sini hanya benarkan mereka yang sudah terima suntikan vaksin Covid-19 dan warga tempatan sahaja untuk solat berjemaah, memang tiada warga asing dalam surau semalam.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis P Pinang mohon maaf gagal kesan ratusan jemaah solat Aidiladha luar surau

"Tetapi ketika hampir waktu solat kira-kira jam 8.30 pagi tiba-tiba ramai warga asing berada di luar surau. Saya dengar pengurusan surau arahkan mereka balik sebab tak boleh masuk dan ada juga warga tempatan tidak dibenarkan masuk kerana surau dah penuh," katanya.

Mohd Ali yang tinggal di Taman Pelangi itu sejak 20 tahun lepas berkata, sebelum ini surau tersebut memang selalu menjadi tumpuan warga asing terutama ketika solat Jumaat, namun sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tiada warga asing yang datang ke surau kerana perlu patuh SOP.

Tinjauan Bernama pada Rabu mendapati polis masih menjalankan operasi termasuk mengadakan sekatan jalan raya (SJR) dan membuat rondaan di kawasan perumahan Taman Pelangi bagi mengesan warga asing yang telah melanggar SOP pada Selasa. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: 49 jemaah solat sunat Aidiladha ditahan