Alumni PLKN perlu jadi ejen perpaduan

Iklan
MUHAMMAD AFIQQ
MACHANG - Insiden rusuhan di tapak Kuil Sri Mariamman, USJ 25, Putra Heights, Subang Jaya perlu ditangani segera kerana jika dibiarkan berterusan, ia akan mengundang permusuhan kaum yang berlarutan.

Sehubungan itu, Pengerusi Alumni Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Kelantan, Muhammad Afiqq Noh berkata, 700,000 bekas pelatih perlu memainkan peranan aktif bagi membantu mengekalkan keharmonian negara.

Katanya, bekas pelatih PLKN telah menjalani latihan bersama dan dilatih saling menghormati kepelbagaian kaum dan agama.

"Saya yakin dan percaya sekiranya lebih 700,000 orang bekas pelatih memainkan peranan aktif, keharmonian negara dapat dikekalkan dan secara langsung, masyarakat akan melihat keberkesanan pelaksanaan program itu.

"Tidak perlu majlis rasmi, tetapi hubungan persahabatan yang diwujudkan antara alumni PLKN pasti dapat menenangkan keadaan semasa sekali gus mengembalikan perpaduan yang kukuh," katanya kepada Sinar Harian di sini, hari ini.