Generasi kedua mahu ketelusan

Iklan

PENUBUHAN Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) pada 1 Julai 1956 di bawah Ordinan Kemajuan Tanah 1956 (Akta 474) memberi impak yang besar ke atas peningkatan taraf hidup sebahagian besar rakyat di negara ini.

Menerusi perusahaan tanaman kelapa sawit dan getah di 317 buah rancangan di seluruh negara telah berjaya membasmi kadar kemiskinan dari masa ke masa.

Iklan
Iklan

Hari ini kebanyakan peneroka boleh dikatakan berasa lega dan berpuas hati dengan hasil tanaman yang diusahakan.

Tanah yang diusahakan umpama lombong emas yang berupaya menyumbang pendapatan berlipat kali ganda. Namun sering kali wujud beberapa isu yang melibatkan tanah Felda, termasuklah isu pelupusan hutang yang mula tular di media sosial sejak akhir-akhir ini.

Iklan

Pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 7 Julai lalu berhubung pelupusan hampir 80 peratus daripada hutang sememangnya memberi nafas lega kepada peneroka sekaligus membantu menstabilkan status kewangan masing-masing apatah lagi dalam mendepani cabaran pandemik Covid-19 yang masih tidak berpenghujung.

Mungkin timbul persepsi oleh masyarakat luar seolah-olah peneroka menolak bantuan yang diberi dan menidakkan kebaikan yang bakal diperoleh. Namun ketidakpuasan yang diuar-uarkan ada justifikasinya.

Iklan

Tawaran pelupusan lebih bersifat inisiatif menarik para peneroka kembali bersama Felda perlu ditafsir dengan gambaran sebenar. Kebaikan yang bakal diperoleh ada baiknya diperhalusi agar misi tawaran lebih terserlah kebenarannya.

Pada dasarnya perjanjian adil sewajarnya mengikat kedua-dua pihak sama ada peneroka mahu pun Felda, dengan tanggungjawab khusus bagi memastikan kejayaan pertanian lestari.

Namun hasil penelitian mendapati perjanjian yang dirangka seolah-olah menekankan tanggungjawab peneroka semata-mata tanpa butiran terperinci peranan Felda serta tindakan undang-undang yang boleh dikenakan sekiranya berlakunya kecuaian atau kegagalan menjalankan tanggungjawab yang termaktub.

Selain itu, penyata penghapusan sewajarnya disertakan dengan butiran terperinci bagi keseluruhan kos penanaman semula. Namun angka tunggal yang dipaparkan sama sekali tidak menggambarkan kos sebenar yang terlibat seperti peruntukan baja, anak pokok dan bekalan bahan penjagaan tanaman.

Ini kerana sebahagian kos ini secara tidak langsung turut ditanggung peneroka setelah berlakunya pengambilalihan kerja penanaman semula oleh peneroka sendiri, ekoran kegagalan pihak yang telah diamanahkan untuk menjalankan kerja dengan baik.

Kandungan dan terma perjanjian tawaran penghapusan hutang ini sewajarnya disemak dan diperhalusi semaksimum mungkin bagi menjamin keadilan bersama kedua-dua pihak.

Potongan 80 peratus yang diusulkan biarlah benar-benar bermakna kepada peneroka menerusi formula yang jelas serta berdasarkan angka sebenar yang munasabah.

Isu pengiraan hutang secara berkelompok wajar diadaptasi secara individu memandangkan perjanjian yang bakal berlangsung mengikat individu secara berasingan selain kos yang terlibat sememangnya berbeza mengikut keluasan tanah dan ciri topografi yang pelbagai.

Justeru penekanan ‘ketelusan’ dalam pengiraan keseluruhan hutang dan ‘keadilan perjanjian’ yang saksama antara kedua-dua pihak pasti disambut baik oleh warga Felda.

Sekiranya ia terbukti memberikan kebaikan kepada seisi keluarga, menyumbang faedah bersama, tidak mungkin tawaran yang datang dipandang begitu sahaja.

Salah faham terma perjanjian dalam kalangan peneroka sama sekali tidak benar kerana warga Felda hari ini benar-benar cakna dengan agenda dan situasi semasa.

*Profesor Madya Sr Dr Rohayu Abdul Majid ialah Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu (KIRRM), Pusat Pengajian Pengurusan Hartanah, Fakulti Senibina Perancangan dan Ukur, UiTM