UMAT Islam di seluruh dunia baru sahaja selesai menyambut Hari Raya Aidiladha yang jatuh pada hari kesepuluh bulan Zulhijjah iaitu bulan terakhir dalam kalender Hijrah Islam.
Ibadah korban yang dilakukan adalah untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim yang sanggup menyembelih anaknya Nabi Ismail kerana ketaatannya terhadap ALLAH.
Apabila Nabi Ibrahim mengangkat pedang dengan kalimah ALLAH dan memancung leher anaknya, Nabi Ibrahim terkejut apabila melihat yang disembelih itu bukanlah anaknya tetapi bertukar menjadi seekor kibas.
Dengan memuji kebesaran ALLAH, kedua-duanya berpeluk sambil bersyukur kepada Tuhan kerana memberi kekuatan untuk melaksanakan amanat yang diperintahkan. Sejak itu, seluruh umat Islam mengambil peristiwa itu untuk melakukan ibadah korban sebagai tanda ketaatan dan kesyukuran kepada ALLAH.
Mengambil ibrah daripada pengorbanan Nabi Ibrahim, kita boleh kaitkan dengan pengorbanan besar yang dilakukan oleh kita semua apabila dunia dilanda dengan pandemik Covid-19.
Semua pihak terkesan dengan apa yang berlaku sehingga menuntut pengorbanan besar baik daripada pemerintah, petugas barisan hadapan dan juga rakyat.
Tanpa pengorbanan yang besar daripada semua pihak tidak mungkin kita dapat menyelamatkan nyawa rakyat dan negara daripada musibah paling besar dalam sejarah manusia ini.
Ramai yang sudah terkorban kerana Covid-19, bukan sahaja kehilangan orang tersayang malah berhadapan dengan pelbagai masalah.
Namun selepas hampir dua tahun kita semua melakukan pengorbanan besar bukan sahaja untuk diri sendiri malah untuk mereka yang kita sayang akhirnya muncul satu penyelesaian terhadap kesengsaraan yang kita hadapi iaitu vaksin.
VaksinBuat masa ini hanya vaksin sahaja kunci untuk membolehkan kita mengharungi hidup dengan Covid-19 yang tidak lagi kita boleh elak dan akan terus hidup bersama kita sehingga ada ubat yang dapat memberikan kesembuhan sepenuhnya.
Rakyat mahu penderitaan yang dihadapi selama ini dapat ditamatkan dengan segera dan memberikan keyakinan penuh kepada pemerintah untuk memastikan setiap individu dapat divaksin dengan segera.
Kerajaan telah menyasarkan 100 peratus populasi dewasa di Selangor dan Kuala Lumpur akan menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin pada 1 Ogos ini menerusi Operasi Lonjakan Kapasiti.
Berdasarkan unjuran dan sasaran yang ditetapkan 80 peratus rakyat Malaysia akan menerima dos lengkap vaksin menjelang suku pertama 2022 tetapi kerajaan yakin ia dapat diselesaikan pada Disember 2021.
Dengan itu, 100 peratus populasi dewasa di Malaysia akan menerima dos lengkap vaksin pada Oktober manakala peningkatan kapasiti untuk mencapai kadar suntikan 500,000 dos sehari.
Bagi memastikan Malaysia berjaya memenangi peperangan menentang Covid-19, kerajaan sudah membeli lebih 76.1 juta dos vaksin merangkumi 70 peratus Pfizer, 23.4 peratus Sinovac, 10 peratus Astrazaneca, 10.9 peratus CanSino dan 10 peratus lagi daripada fasiliti pelan peruntukan vaksin Covid-19 global, Akses Global Vaksin Covid-19 (Covax).
Sebanyak 40 juta dos pada Ogos, 53 juta dos pada September dan 58 juta dos pada Oktober. Baki selebihnya akan diterima antara November ini hingga Januari 2022.
Sehubungan itu, seluruh rakyat berpegang teguh kepada janji-janji yang diumumkan kerajaan dan tidak mahu pengorbanan dilakukan selama ini disia-siakan begitu sahaja.
Atas sebab itu juga, rakyat mahu supaya segala perbalahan politik dalam negara dihentikan buat seketika dan memberikan ruang kepada pemerintah untuk menyelesaikan misi yang amat penting ini.
Mengkritik pemerintah untuk menjayakan misi penting negara itu amat dialu-alukan tetapi jika ada agenda lain yang boleh merugikan rakyat maka perkara itu harus dielakkan.
Jika ada pihak yang cuba mengambil kesempatan menangguk di air keruh pada ketika ini sudah pasti ia akan memberikan kesan buruk kepada mereka dan akan menimbulkan kemarahan rakyat.
Atas sebab itu, semua pihak diharapkan dapat menghargai pengorbanan dan penderitaan yang terpaksa dilalui oleh rakyat.
* Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian