WAKIL perseorangan lelaki Perancis, Brice Leverdez sudah bersedia untuk menunjukkan kemampuannya termasuk mengejutkan wakil negara yang juga pilihan utama Kumpulan M, Lee Zii Jia pada Sukan Olimpik Tokyo kali ini.
Menurut Leverdez, dia juga sudah melakukan latihan fizikal tambahan untuk menghadapi Olimpik kali ini.
"Saya berlatih dua kali sehari ditambah dengan latihan fizikal dan juga berada di tempat dengan ketinggian tinggi, ia akan meningkatkan kemampuan fizikal saya.
"Berlatih di altitud tinggi mungkin merupakan sesuatu yang sering kita dengar untuk sukan lain tetapi tidak biasa disebut dalam sukan badminton. Bulu tangkis akan jauh lebih laju ketika bermain di tempat tinggi,” katanya dalam laman web Badminton Europe.
Leverdez diundi dalam Kumpulan M bersama Zii Jia dan pemain Ukraine, Artem Pochtarov dengan saingan kumpulan tersebut akan bermula pada 25 Julai ini.
Dalam pada itu, Leverdez turut mengakui keinginannya cukup tinggi dan berhasrat mencipta kejutan selepas kegagalan dalam dua aksi Olimpik di edisi London 2012 dan di Rio 2016.
"Apabila anda menang dalam satu pertandingan yang sukar, lagu kebangsaan akan dimainkan kerana anda dan kerana kemenangan itu. Ia sesuatu yang sangat istimewa dan sukar untuk digambarkan.
"Setiap kali saya menyertai kejohanan, saya selalu mahu menang. Terutamanya di Sukan Olimpik kerana ia adalah sesuatu yang istimewa. Dalam kejohanan ini, anda boleh membuat kejutan dan saya yakin dapat melakukannya,” katanya.