SEREMBAN - Mendengar takbir raya sahaja hati sudah berasa sayu apatah lagi jika melaungkannya di pusara yang pasti menjadi pengalaman sukar dilupakan bagi petugas pengurusan jenazah Covid-19 Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Sembilan (JHEAINS) ketika menguruskan jenazah Covid-19 pada malam Hari Raya Aidiladha lepas.
Lebih memilukan, dalam kesibukan umat Islam lain membuat persiapan menyambut Aidiladha di rumah masing-masing, Mohd Z Affendi Zakaria, 35, bersama 18 individu lain termasuk petugas kesihatan daerah Seremban terpaksa berjauhan dengan keluarga demi tanggungjawab menguruskan jenazah Covid-19.
"Ketika itu, kami sedang menunggu lima lagi jenazah untuk dikebumikan kira-kira jam 8 malam dan secara spontan kami bertakbir di tepi pusara yang dipimpin secara bergilir-gilir oleh Penolong Pegawai JHEAINS, Mohd Kah'har Che Kasim, 34, dan Shahizad Shahmir, 38.
"Laungan takbir itu berlarutan selama 10 minit dan ia merupakan pengalaman pertama kami bertakbir raya di pusara dengan memakai PPE (pakaian perlindungan diri), di fikiran ketika itu hanya teringatkan keluarga di rumah,” katanya kepada Bernama di sini pada Khamis.
Beliau berkata, lebih menyentuh perasaan apabila melihat keadaan ahli keluarga dan waris yang tidak dapat bersama-sama dalam proses pengebumian orang tersayang, sebaliknya hanya mampu memerhatikan dari luar pagar di Tanah Perkuburan Maqbarah Salimah Ainsdale di sini.
Anak kelahiran Jelebu ini turut berkongsi pengalaman tersebut menerusi akaun TikTok miliknya ‘zackaffendi’ baru-baru ini dan mendapat perhatian netizen yang memberikan kata-kata semangat kepada petugas barisan hadapan selain mendoakan supaya mereka terus kuat menjalankan tugas.
Menceritakan pengalaman menguruskan pengebumian jenazah Covid-19, Mohd Z Affendi berkata, ia sangat mencabar terutama pada waktu malam dalam hujan sehingga ada yang tergelincir dan terjatuh ke dalam liang lahad serta longkang berhampiran tanah perkuburan.
"Ini kerana pelindung muka dipakai kadang-kadang berkabus sekali gus menyukarkan kami melihat keadaan sekeliling dengan jelas, ditambah pula dengan memakai PPE yang menyebabkan kami sukar bernafas,” katanya.
Bagaimanapun katanya, mereka tidak pernah menganggap tugas menguruskan jenazah berkenaan satu bebanan sebaliknya amanah yang perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.
Menurutnya, setakat Isnin lepas, mereka sudah membantu menguruskan 150 jenazah di tanah perkuburan itu dengan lapan hingga 12 jenazah dikebumikan sehari.
"Perkara ini sudah pasti memberi keinsafan kepada diri kita supaya lebih berhati-hati, tidak perlu menyalahkan mana-mana pihak dan paling penting mematuhi SOP (prosedur operasi standard) ditetapkan,” katanya. - Bernama