SHAH ALAM - Pihak Hospital Ampang mengambil berat berkaitan isu tular di media sosial berkenaan kehilangan barang peribadi pesakit di hospital itu.
Pengarahnya, Dr Kasuadi Hussin berkata, siasatan sedang dijalankan dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan secepat mungkin.
"Hospital Ampang ambil berat berkaitan isu tular ini dan siasatan sedang dijalankan. Sebarang perkembangan berkaitan perkara ini akan dimaklumkan secepat mungkin.
"Kami juga sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan yang terbaik. Segala kesulitan yang timbul berhubung perkara ini amat dikesali,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Pada 21 Julai, pengguna Twitter, @TiraSahar memaklumkan, dia mendapat telefon pintar sahaja apabila menuntut barang arwah ayahnya.
Tambah Tira, dia telah membuat laporan polis kerana kad pengenalan dan barangan di dalam beg ayahnya tiada termasuk fon telinga, beg poket, pakaian trek, baju-t, ubat dan oksimeter.
"Masa tuntut jenazah semalam, forensik minta kad pengenalan tetapi saya cakap semua pada arwah dan mungkin di wad.
"Saya segera naik ke wad dan jururawat maklumkan barang ayah hanya ada selipar sahaja,” luahnya.
Bagaimanapun, pada Selasa, Tira memaklumkan di Twitternya selepas mendapat panggilan daripada pegawai hospital bahawa kad pengenalan arwah ayahnya telah dijumpai.
"Saya akan pergi ke hospital untuk sahkan barang,” katanya.
Dalam perkembangan terkini dikongsikan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia melalui Twitter @KKMPutrajaya hari ini, pihak tersebut memaklumkan bahawa barang peribadi tersebut telah dituntut pihak waris.