Letak TH di bawah BNM tidak wajar, PEMENANG gesa bincang

Iklan
Mohd Yussuf Latiff

GEORGETOWN - Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG) menggesa Kementerian Kewangan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri supaya berbincang dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam berhubung cadangan meletakkan Tabung Haji (TH) di bawah kawal selia Bank Negara Malaysia (BNM).

Presidennya, Tan Sri Mohd Yussuf Latiff berkata, perkara itu dilihat boleh mengetengahkan cadangan dan pendapat yang lebih konstruktif kepada kerajaan dalam usaha mempertingkatkan urus tadbir TH.

Iklan
Iklan

Menurutnya, tindakan Kementerian Kewangan meletakkan TH di bawah kawal selia BNM yang diumumkan oleh Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz adalah tindakan terburu-buru kerana dilakukan tanpa perbincangan dengan wakil pemegang taruh dan ia telah mengelirukan umat Islam.

"Pengumuman tersebut dilihat mungkin mempunyai agenda yang tertentu dan sangat dibimbangi selain menimbulkan sangsi terhadap NGO Islam dan masyarakat Melayu pada umumnya. TH bukan sebuah institusi kewangan seperti institusi kewangan lain di negara ini.

Iklan

"Matlamat utama penubuhan TH yang diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri adalah jelas, iaitu ia adalah sebuah agensi Islam yang diberi amanah dan tanggungjawab menyimpan wang bakal jemaah haji dan menguruskan jemaah haji ke tanah suci Makkah," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengurusan, operasi Tabung Haji akan ditambah baik

Iklan

TH berdepan beberapa risiko jika diletakkan di bawah BNM

Beliau berkata, tindakan Kementerian Kewangan itu amat dikesali kerana ia mengambarkan seolah-olah kerajaan sendiri tidak begitu faham matlamat utama TH dengan meletakkannya setaraf dengan syarikat kewangan lain.

"Kementerian Kewangan harus sedar risiko keputusan yang dibuat itu kerana BNM adalah sebuah agensi di bawah Kementerian Kewangan dan apa akan berlaku kepada TH jika Menteri Kewangan dilantik dalam kalangan bukan umat Islam yang tidak memahami maqasid kewujudan TH?

"Deposit umat Islam yang berjumlah ratusan bilion ringgit itu dilaburkan dalam pelbagai sektor ekonomi bagi menjana keuntungan dan menyalurkan sedikit keuntungan sebagai subsidi kepada pendeposit yang menunaikan ibadah haji buat kali pertama," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Yussuf turut menyatakan kekesalannya terhadap pengumuman Tengku Zafrul itu sebelum Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat beberapa dakwaan ke atas TH sebelum ini.

"Tindakan itu dilihat sangat tidak wajar. PEMENANG menyambut baik pengumuman kerajaan menubuhkan RCI bagi menyiasat dakwaan terhadap TH antaranya wujud kecurigaan dalam pengurusan dan pelaburan yang dilaporkan mengalami kerugian dan dakwaan asetnya dijual kepada syarikat bukan Islam.

"Bagi saya, tiada keperluan untuk meletakkan TH di bawah kawal selia BNM. Sebagai usaha mengawal selia sebuah agensi kepentingan umat Islam, kerajaan seharusnya mengamalkan konsep Wilayatul Hisbah dan Wilayatul Mazalim iaitu sistem pemantauan terhadap pemantau," katanya.

Ujarnya, sementara menunggu laporan RCI, kerajaan perlu menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas Parlimen yang dianggotai ahli-ahli Parlimen Muslim bagi memantau keputusan yang dibuat oleh Menteri Agama dalam isu TH adalah telus dan amanah.

Katanya, jawatankuasa itu juga boleh dianggotai oleh wakil dari BNM supaya mendapat pandangan secara langsung dari sebuah institusi bebas.

Tengku Zafrul dalam kenyataannya baru-baru ini berkata, Mesyuarat Jemaah Menteri telah bersetuju menyenaraikan TH sebagai sebuah institusi kewangan Islam yang ditetapkan di bawah Seksyen 223 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 dan dikawal selia BNM.

ARTIKEL BERKAITAN: Kuasa menteri agama ke atas TH kekal: Zulkifli

7 sebab TH tidak wajar diletak