AMINVESTMENT Bank Bhd (AmInvest) mengekalkan penilaian 'Overweight' ke atas sektor perbankan apabila jangkaan peningkatan margin faedah pendasar dijangka meningkatkan lagi pendapatan faedah bersih (NII) teras bank-bank.
Bank pelaburan itu juga menjangkakan fi dan komisen tinggi bagi pendapatan bukan faedah (NOII) manakala perbelanjaan operasi dijangka dapat diurus dengan baik yang membawa kepada nisbah JAW positif.
AmInvest dalam laporan sektor pada Khamis berkata, sektor perbankan dijangka memperuntukkan peruntukan lebih rendah tahun ini berbanding 2020 dengan kos kredit 50 mata asas (2020: 60 mata asas) apabila penampan peruntukan yang disimpan bank sejak tahun lepas tidak banyak digunakan dan dapat menampung impak daripada sekatan pergerakan terbaharu.
"Mengenai moratorium enam bulan yang terbaharu, bank-bank dijangka menambahkan lagi peruntukan, namun kami tidak menjangka tambahan ini dalam jumlah yang besar, tidak seperti pada 2020.
"Ia berdasarkan kepada jangkaan ekonomi bergerak ke arah pemulihan dengan pembukaan secara berperingkat lebih banyak sektor ekonomi selepas negara mencapai imuniti kelompok menerusi vaksinasi secara besar-besaran,” katanya.
Kerugian pengubahsuaian bagi moratorium terbaharu dijangka minimum dan terkawal bagi bank-bank serta akan diambil kira pada suku ketiga 2021. Ia dijangka lebih rendah berbanding jumlah kumulatif kira-kira RM1.8 bilion pada suku kedua 2020.
AmInvest berkata, ia juga mengekalkan unjuran pertumbuhan pinjaman industri pada 4.0 hingga 5.0 peratus bagi 2021 manakala persaingan dalam deposit dijangka kekal sederhana berikutan pertumbuhan kukuh akaun simpanan akaun semasa (CASA).
Bagi sektor pilihan utama, AmInvest memilih CIMB Group Holdings Bhd dengan nilai saksama pada RM5.60, RHB Bank Bhd (nilai saksama: RM6.90) dan Malayan Banking Bhd (Maybank) (nilai saksama: RM10.40). - Bernama