SHAH ALAM - Nasib tidak menyebelahi pendatang asing tanpa izin (PATI) apabila diberkas Jabatan Imigresen Selangor dalam serbuan di 10 lokasi berasingan di sekitar daerah ini dan Puchong.
Serbuan selama 10 jam bermula jam 2.30 petang, semalam telah menahan seramai 45 orang PATI berusia lingkungan 17 hingga 48 tahun termasuk mereka yang bekerja sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO).
Pengarah Imigresen Selangor, Mohamad Shukri Nawi berkata, operasi yang dijalankan menyasarkan premis kedai runcit, kilang, hotel, pusat urut dan pusat hiburan.
Menurutnya, kesemua PATI yang ditahan ini terdiri daripada 15 warga Bangladesh, Indonesia (10), Vietnam (6), Pakistan dan Myanmar masing-masing lima, India (3) dan Nepal (1).
"Daripada jumlah keseluruhan, 34 orang adalah lelaki manakala selebihnya wanita. Kesemua mereka dipercayai telah bekerja di negara ini sejak enam bulan lalu tanpa memiliki permit yang sah, pas tamat tempoh dan menyalahgunakan pas lawatan sosial," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
Mengulas lanjut, Shukri berkata, dalam operasi ini, pihaknya turut mengesan sebuah premis yang masih degil beroperasi dan pernah diserbu sebelum ini.
Malah, terdapat ramai majikan masih mengajikan pekerja warga asing secara tidak sah tanpa dokumen sah.
"Kita akan mengesan semua majikan yang terlibat ini kerana melindungi dan mengajikan PATI," katanya.