Seorang petugas kesihatan maut, tiga pengsan dalam ambulans

Iklan
Pasukan HAZMAT bersedia membuat pemeriksaan dalam ambulans.

PORT DICKSON - Seorang petugas kesihatan Klinik Kesihatan Bukit Pelandok di sini meninggal dunia manakala tiga lagi didapati pengsan di dalam ambulans yang tiba di Hospital Port Dickson dekat sini, pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, mangsa yang meninggal dunia merupakan lelaki berusia 29 tahun manakala tiga lagi lelaki yang tidak sedarkan diri berusia 30-an.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, bomba pada awalnya menerima maklumat berlaku kebocoran gas di Klinik Kesihatan berkenaan pada jam 9.30 pagi.

"Seramai 35 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson dan HAZMAT telah ke lokasi untuk membuat pemeriksaan di premis namun mendapati tiada berlaku sebarang kebocoran.

Iklan

"Pihak Klinik Kesihatan memaklumkan seorang petugas klinik itu rebah tiba-tiba selepas mengadu sakit dada sebelum tiga petugas lain membawa mangsa ke hospital menggunakan sebuah ambulans," katanya kepada media ketika ditemui di Hospital Port Dickson di sini, pada Khamis.

Pasukan HAZMAT dan bomba membuat pemeriksaan pada ambulans.

Bagaimanapun katanya, sebaik tiba di hospital mangsa dan tiga petugas yang duduk di belakang ambulans didapati tidak sedarkan diri.

Iklan

Ujarnya, pihak hospital yang membuat pemeriksaan mengesahkan yang mangsa meninggal dunia manakala tiga lagi diberi rawatan lanjut.

Sementara itu Pakar Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) Negeri Sembilan, Timbalan Penguasa Bomba, Mohammad Idris berkata, punca kejadian masih dalam siasatan, namun pihaknya tidak menolak kemungkinan berpunca daripada kebocoran gas di dalam ambulans.

"Kejadian sama turut berlaku semalam (Rabu) apabila seorang petugas kesihatan yang menaiki ambulans sama didapati pengsan,"katanya.