PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof menegaskan bahawa pendakwaan yang dihadapi oleh bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bukan bersifat politik.
Menurutnya, tiada sesiapa yang melakukan ugutan sebagaimana didakwa Ahli Parlimen Muar itu.
"Tidak timbul isu kalau dikatakan dia diugut untuk masuk Perikatan Nasional (PN)...Tidak benar.
"Syed Saddiq perlu berani untuk mendepani pertuduhan yang dihadapinya. Dia kena terangkan kepada mahkamah untuk bela diri," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Seroja, dekat sini pada Khamis.
Mengulas lanjut, Mohd Redzuan turut menasihati Syed Saddiq agar sentiasa berhati-hati di dalam dunia politik.
Katanya, sebagai pemimpin politik kita perlu berjaga-jaga kerana orang memandang keberadaan kita dalam masyarakat.
"Kalau kita melibatkan diri dalam gejala- gejala yang menyebabkan integriti dan pecah amanah, maka kita kena bertanggungjawablah.
"Kita tak boleh salahkan (orang lain). Contohnya disebut kambing hitam. Itu tak betul," katanya.
Pada Khamis, Syed Saddiq, 29, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua pertuduhan pecah amanah dan salah guna sumbangan Kempen Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 berjumlah RM1.12 juta, pada 2018 dan 2020 lalu.
Sebelum itu, menerusi video berdurasi 53 saat di laman sosial Facebooknya, Syed Saddiq juga dilaporkan berkata, beliau diugut untuk didakwa sejak setahun yang lalu jika tidak menyertai PN.
Katanya, ugutan itu hadir setiap kali adanya undi penting di Parlimen iaitu Julai, Disember 2020, Januari lalu dan kini seminggu sebelum Parlimen bersidang.
ARTIKEL BERKAITAN Saya lebih rela masuk mahkamah daripada PN, kata Syed Saddiq