ALOR GAJAH - Biarpun sudah bersara awal Januari lalu, seorang bekas jururawat terpanggil untuk menjadi sukarelawan dalam program vaksinasi Covid-19.
Hee Kim Lan, 57, yang sebelum ini menjawat jawatan sebagai Ketua Penyelia Jururawat Hospital Melaka berkata, pada mulanya dia merancang untuk meluangkan masa bersama keluarga selepas berkhidmat selama 31 tahun dalam bidang kejururawatan.
Bagaimanapun menurutnya, disebabkan kes semakin meningkat dan keperluan tenaga kerja, dia kemudian tidak menolak apabila ditawarkan untuk melibatkan diri dalam program itu.
Ujarnya, bagi memastikan individu penerima vaksin tidak bimbang dengan isu picagari kosong dan sebagainya, dia akan beberapa kali menunjukkan picagari mengandungi vaksin sebelum mereka menerima suntikan.
"Amanah dan tanggungjawab itu perlu kita pikul bersama. Semangat kerja berpasukan akan melancarkan program itu dan lebih ramai rakyat Melaka dapat divaksin," katanya ketika ditemui pada program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) di Kompleks Japerun Machap Jaya, di sini pada Khamis.
Kim Lan yang pernah bertugas di Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) Kelantan, Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Jasin berkata, pada awalnya suami tidak bersetuju kerana bimbang dengan risiko dan cabaran yang bakal dihadapi lebih-lebih lagi hampir mencecah usia emas.
"Namun selepas saya berikan penerangan dan ikhlas untuk membantu akhirnya suami membenarkan saya bertugas sebagai jururawat MOVAK di Melaka," katanya.
Dalam pada itu, Kim Lan turut berkongsi pernah memberikan suntikan vaksin kepada individu melatah dan pelbagai ragam lain.