Kamal Adli sahut cabaran

Iklan
Uqasha, Kamal Adli

KEMUNCULAN pelakon ini menerusi drama rantaian di saluran-saluran televisyen tanah air sinonim dengan watak romantik dan juga kelakar.

Terbaharu, pelakon dan juga pengacara, Kamal Adli bakal tampil dengan watak lelaki lurus bendul yang julung kalinya akan dipersembahkan kepada penonton menerusi drama Boyfriend Ku Dari Dot Dot Dot.

Iklan
Iklan

Drama Boyfriend Ku Dari Dot Dot Dot

Berkongsi mengenai watak tersebut, ujar Kamal, apa yang terlintas di benak fikiran ialah bercakap seperti mempunyai lidah pendek.

Iklan

"Sebelum ini saya pernah berlakon dalam genre komedi tetapi watak kali ini memang mencabar betul.

"Mana tidaknya, saya harus berlakon sebagai lelaki lurus bendul. Pada awalnya saya tidak tahu bagaimanakah hendak membawakan watak itu?

Iklan

"Setelah saya berfikir panjang, apa yang terlintas adalah dengan cara bercakap seperti lidah pendek,” ujar Kamal kepada Sinar Harian.

Ujar pemenang Pelakon Lelaki Prolifik di Anugerah Telenovela 2017 itu lagi, watak berkenaan bukan sahaja mencabar malah ia seakan dihantui.

"Walaupun menjadi tetapi sejujurnya saya sendiri pula yang terasa watak itu agak menjengkelkan."Bahkan selepas habis penggambaran pun saya masih lagi terbawa-bawa bercakap seakan memang berlidah pendek.

"Bukan itu sahaja, ia juga mencabar saya apabila nak masuk penggambaran untuk drama lain."Kadang-kadang bila berdialog saya terikut-ikut dengan watak berkenaan,” jelas Kamal.

Drama Setelah Terlafaznya Akad

Selain Kamal, drama arahan Michael Ang itu dibintangi oleh barisan artis terkenal seperti Uqasha Senrose dan ramai lagi.

Sementelah menjayakan drama berkenaan, pelakon berusia 32 tahun ini turut terlibat dengan satu lagi naskhah yang juga sekali lagi digandingkan dengan aktres Uqasha dalam drama Setelah Terlafaznya Akad untuk Slot Mega Drama Astro.

"Watak dalam drama Setelah Terlafaznya Akad ini pula saya sebagai lelaki kampung.

"Boleh saya katakan ini juga saya anggap sebagai watak baharu. Sebelum ini saya melakonkan watak orang kaya, pakai pakaian kemas sahaja.

"Berbeza kali ini saya dapat pakai pakaian biasa-biasa. Sekali sekala tukar angin orang kata.

"Soal berlakon dua dalam satu masa sebenarnya perkara itu tidak mengganggu saya kerana jadual kedua-dua penggambaran telah dirancang sebaik-baiknya.

"Cuma itulah bagaimana saya nak tukar watak sahaja yang mencabar. Contohnya hari ini habis penggambaran watak lurus bendul, esok watak orang biasa. Terkadang dalam drama ini pun saya terbuat cara percakapan itu,” jelas Kamal.

Sementara itu, pelakon Duda Pujaan Dara yang tercalon dalam kategori Hos MeleTop dan Artis Lawak MeleTop di Anugerah MeleTop ERA, akuinya terkejut.

"Mungkin sebab masyarakat selalu lihat saya berlakon komedi atau kadang-kadang bila saya jadi hos pun buat lawak-lawak sikit.

"Jadi, mungkin juga lah kerana mereka melihat kebolehan saya mengacara dan melawak.

"Untuk hos bagi saya perkara yang baharu, tersangkut dalam kategori tersebut adalah permulaan yang baik. Apa pun tercalon dalam kategori itu dah OK, alhamdulillah syukur,” ujar Juara Super Spontan Superstar 2017.