SHAH ALAM - Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional (PTPTN) akan menyalurkan bantuan segera kepada lapan beradik yang menjadi yatim piatu setelah kedua-dua ibu bapa mereka meninggal dunia akibat Covid-19.
Pengerusinya, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, peruntukan kewangan telah diluluskan dan akan disampaikan dalam kadar segera oleh pegawai dan Skuad PTPTN Prihatin kepada lapan beradik tersebut.
Wan saiful berkata, bebanan yang ditanggung mereka adalah menjadi tanggungjawab bersama dan anak-anak tersebut akan diberikan akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).
"Saya sedih mendengar musibah lapan beradik yang kehilangan kedua-dua ibu bapa setelah dijangkiti Covid-19 dan saya difahamkan anak sulung keluarga ini merupakan pelajar Politeknik manakala tujuh yang lain masih belajar.
"Saya tahu bantuan yang disalurkan ini tidak dapat menggantikan ibu bapa mereka yang telah pergi. Tetapi kita sama-sama berdoa agar sedikit pembelaan ini dapat membantu meringankan bebanan yang ditanggung.
"Semoga anak-anak ini dapat menempuh ujian getir yang mereka lalui dengan sabar,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Khamis.
Kisah lapan beradik anak yatim ini mula tular dan mendapat perhatian pengamal media, badan bukan kerajaan (NGO) dan wakil rakyat selepas kisah mereka dimuat naik di laman Facebook pada Selasa.
Nazurah Nabilah Benyajeed, 19, bersama tujuh adiknya yang berumur antara empat hingga 18 hingga tahun kini tinggal di rumah saudara mereka di Bukit Beruntung, Rawang.
Bapa mereka Benyajeed Bernie, 45, meninggal dunia pada 16 Julai manakala ibunya, Noraini Ibrahim, 43, pula pada 18 Julai akibat Covid-19.