PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan sebanyak 13,034 kes harian baharu positif Covid-19 pada Khamis.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 13 kes merupakan kategori lima dan 72 adalah kategori empat.
"Pesakit kategori tiga yang mempunyai radang paru-paru adalah seramai 124, kategori dua (5,646) dan kategori satu (7,179)," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurutnya, data tersebut adalah berdasarkan keadaan klinikal pesakit semasa baharu didiagnosa Covid-19.
"Ada di antara mereka kekal di kategori yang sama sepanjang tempoh jangkitan, namun ada juga yang berubah status sama ada bertambah baik atau merosot ke kategori lebih tinggi," katanya.
Beliau berkata, Selangor kekal melaporkan kes tertinggi iaitu 6,049 diikuti Kuala Lumpur (1,611), Johor (791), Negeri Sembilan (711), Kedah (701), Sarawak (644), Sabah (479), Terengganu (391), Pulau Pinang (371), Melaka (353), Perak (284), Pahang (261), Kelantan (240), Putrajaya (100), Labuan (24) dan Perlis (enam).
"Pertambahan itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 adalah 964,918," katanya.
Dr Noor Hisham berkata, terdapat 142,051 kes aktif di seluruh negara dan 938 kes dirawat di unit rawatan rapi (ICU).
"Seramai 459 pesakit memerlukan bantuan pernafasan," katanya.
Ujarnya, KKM merekodkan 134 kes kematian berkaitan Covid-19 sekali gus menjadikan jumlah keseluruhannya, 7,574 kes.
Ia membabitkan 119 kematian rakyat tempatan dan 15 warga asing, katanya.
Dr Noor Hisham berkata, daripada jumlah itu, terdapat 22 kes di mana jenazah dibawa ke hospital (BID) manakala 112 menghembuskan nafas terakhir di hospital.
Tambahnya, Selangor melaporkan 39 kes kematian, Kuala Lumpur (32), Negeri Sembilan (18), Johor (15), Perak (tujuh), Melaka (tujuh), Pahang (lima) dan Kedah (empat).
"Pulau Pinang, Terengganu dan Labuan masing-masing dua kes kematian manakala satu di Sabah," katanya.
Sementara itu, katanya, sebanyak 8,436 kes sembuh turut dilaporkan.
"Jumlah keseluruhan kes sembuh adalah 815,293 atau bersamaan dengan 84.5 peratus," katanya.