Isu makan durian di PPV, HSA sedia beri kerjasama

Iklan
Tular dakwaan sekumpulan individu berkumpul dan makan durian dipercayai di sebuah pusat pemberian vaksin (PPV) di bandar raya Johor Bahru.

JOHOR BAHRU - Pihak pengurusan Hospital Sultanah Aminah (HSA) akan memberi kerjasama kepada polis berhubung dakwaan pelanggaran prosedur operasi standard ( SOP) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Jubli Intan Jalan Ayer Molek pada Ahad lalu.

Pengarahnya, Dr Mokhtar Pungut@ Ahmad berkata, pihaknya mengambil serius berhubung dakwaan pelanggaran SOP itu melibatkan beberapa individu kesihatan menikmati durian di PPV terbabit.

Iklan
Iklan

"Pihak pengurusan HSA akur dan akan memberikan kerjasama kepada polis yang menjalankan siasatan berhubung perkara terbabit.

"Pengoperasian PPV terbabit bermula pada 20 Jun lalu dan petugas PPV diingatkan untuk mengambil langkah-langkah pencegahan dan keselamatan bagi menjaga SOP yang ditetapkan," katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasmi Jabatan Kesihatan Negeri Johor ( JKNJ) pada Khamis.

Iklan

Mengulas lanjut, Mokhtar berkata, peringatan khusus kepada anggota yang terlibat dalam perkhidmatan perawatan serta vaksinasi sentiasa dilakukan oleh pihak pengurusan melalui mesyuarat, hebahan dan memo.

"Bagaimanapun pengoperasian pemberian PPV Dewan Jubli Intan akan tetap berjalan seperti biasa tanpa sebarang perubahan dengan mengamalkan SOP sedia ada," katanya.

Iklan

Sinar Harian pada Ahad lalu melaporkan polis akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan sekumpulan individu berkumpul dan makan durian dipercayai di sebuah pusat pemberian vaksin (PPV) di bandar raya Johor Bahru seperti yang tular dalam media sosial.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain dilaporkan berkata, laporan polis berhubung dakwaan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) itu diterima pada jam 3.41 petang.

Katanya, kes akan disiasat di bawah Perkara 17(1) Peraturan-Peraturan dan Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) 2021.