MENTERI Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin mengucapkan selamat maju jaya kepada kontinjen Malaysia yang akan berjuang di Sukan Olimpik Tokyo mulai esok hingga 8 Ogos depan.
Ujar beliau, kontinjen negara itu akan berjuang dalam acara akuatik termasuk renang dan terjun, badminton, basikal, gimnastik, golf, memanah, menembak, olahraga dan pelayaran.
Iklan
Iklan
"Saya difahamkan 18 atlet daripada 30 orang ahli kontinjen kita adalah lepasan Sekolah Sukan Malaysia.
"Syabas buat warga pendidik dan jurulatih yang berjaya memupuk dan membentuk barisan atlet negara,” katanya dalam siaran Facebook pada Khamis.
Mengulas lanjut, Mohd Radzi berkata, kejayaan berkenaan diharap dapat dijadikan sumber inspirasi buat semua pelajar sekolah sukan negara.
"Bersama-sama kita doakan kesihatan, keselamatan dan kekuatan untuk olimpian kita agar mereka dapat memberikan prestasi yang terbaik.
"Selamat berjuang wira dan wirawati negara! Semoga kejayaan milik Malaysia,” menurutnya.