LZA bantu keluarga Nazurah sejak 2014

Iklan
Saipolyazan (kiri) menyerahkan replika cek bantuan LZS kepada Nazurah (dua dari kiri) pada Khamis.

RAWANG - Lembaga Zakat Selangor (LZS) memaklumkan pihaknya telah membantu keluarga Nazurah Nabilah Benyajeed, 19, serta tujuh adik beradik yang kehilangan kedua ibu bapanya akibat Covid-19 baru-baru ini sejak tahun 2014.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M Yusof berkata, keluarga tersebut merupakan asnaf berdaftar di bawah LZS yang dibantu dengan pelbagai sumbangan seperti bantuan kewangan, makanan, pendidikan, bantuan hari raya dan lain-lain.

Iklan
Iklan

Menurutnya, setelah mendapat tahu tentang berita tersebut, pihaknya telah bergegas ke kediaman mereka untuk menyalurkan bantuan kecemasan sebanyak RM500, selain menguruskan khairat kematian kedua-dua ibu bapanya dan menyerahkan RM3,000 wang khairat kematian kepada ahli keluarganya.

"Pada masa sama juga, kami akan menguruskan bayaran sewa rumah mereka di sini sebanyak RM650 sebulan. Setakat ini kita masih mengekalkan bantuan yang diterima dan pegawai kita akan membuat pemeriksaan susulan kerana ahli keluarga ini terdiri daripada kanak-kanak dan remaja berumur empat hingga 19 tahun.

Iklan

"Ini merupakan kes pertama yang mana tempoh pemergian ibu bapanya sangat rapat akibat Covid-19. Sebelum ini, ada kes hanya salah seorang ahli keluarga sahaja yang meninggal dunia, tapi bukan kes sebegini," katanya ketika sidang akhbar di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Saipolyazan turut mengingatkan dan menggalakkan keluarga asnaf di bawah seliaan LZS untuk mendapatkan vaksin secepat mungkin.

Iklan

Katanya, pihak LZS menjalankan kempen melalui amil kariah dan menghubungi keluarga asnaf untuk menasihati mereka supaya mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

"Kita juga bersama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dengan menyediakan tiga kenderaan 'Vaccine On The Go' ke 265 pusat jagaan untuk membantu mereka mendaftar vaksin bagi mempercepatkan negara mencapai imuniti kelompok," katanya.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan lapan beradik menjadi yatim piatu sekelip mata selepas kedua-dua ibu bapa mereka pergi buat selama-lamanya dalam tempoh tiga hari akibat wabak Covid-19.

Nazurah bersama tujuh adiknya yang berumur antara empat hingga 18 tahun kini tinggal di rumah saudara mereka di Bukit Beruntung, di sini.

Ahli Parlimen Hulu Selangor, June Leow Hsiad Hui dilaporkan berkata, ketua keluarga itu, Benyajeed Bernie, 45, meninggal dunia pada 16 Julai manakala ibu mereka, Noraini Ibrahim, 43, pula pada 18 Julai akibat Covid-19.

Menurutnya, sebaik menerima laporan mengenai perkembangan berkenaan pihaknya terus menjejaki lapan beradik terbabit agar mereka mendapat sokongan dan bantuan sewajarnya.