NAMPAKNYA tahun ini menuntut kita berkorban banyak perkara. Daripada tidak boleh pulang beraya Aidilfitri Mei lalu sehinggalah raya Aidiladha ini.
Sebelum ini kita semua boleh beraya bersama-sama, salam cium tangan ibu dan ayah serta berkunjung ke rumah saudara-mara.
Bagi rakyat Kelantan dan Terengganu, hari raya korban sangat dinanti-nantikan kerana boleh ‘bekwoh anok beranok’ sambil mengagihkan daging korban.
Masa inilah keluarga jauh dan dekat kunjung-mengunjung dan bertanya khabar sambil makan singgang daging, nasi panas, ulam dan budu.Malam pula kami berkampung makan roti cicah sup tulang.
Namun, dua tahun kebelakangan ini suasana meriah hari raya hanya mampu berada dalam lipatan memori.
Bagi perantau, tiada lagi masakan bonda di pagi raya. Ibu dan ayah hanya mampu melayan rindu anak cucu melalui aplikasi Zoom, Google Meet dan panggilan video sahaja.
Pandemik Covid-19 membawa norma baharu dalam segenap segi. Ibadah korban juga dilakukan dalam suasana SOP yang ketat.
Di Selangor, hanya lima petugas sahaja dibenarkan dalam proses penyembelihan pada satu-satu masa. Penerima daging korban pula perlu berada di rumah masing-masing.
Walaupun ibadah korban adalah tuntutan syariat untuk menjaga jiwa namun di tengah pandemik sekarang, kita perlu pasrah dan akur dengan pematuhan SOP yang ditetapkan.
Kita mungkin tertekan dengan pelaksanaan siri Perintah Kawalan Pergerakan yang membabitkan beberapa fasa sehingga ramai yang terjejas teruk sehingga menyebabkan sumber pendapatan musnah. Ada yang sampai tidak ada apa-apa untuk dihidang di atas meja. Terdesak
Sebagai orang yang turut terbabit dengan kerja-kerja amal, saya berhadapan dengan bermacam situasi yang meruntun hati.
Ada satu hari, seorang bapa menghubungi kami untuk menjual laptop yang digunakan anak-anaknya untuk Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) semata-mata mahu mendapatkan wang membeli makanan.
Begitu terdesak keadaannya sehingga sanggup menukar keperluan anak untuk belajar bagi mengisi perut ahli keluarga.
Disusuli dengan beberapa situasi lain, buatkan saya faham bahawa bukan mudah untuk mengibarkan bendera putih di hadapan rumah.
Tidak semua orang sanggup meminta dengan orang tidak dikenali. Apatah lagi terang-terangan menunjukkan yang mereka dalam kesusahan dan memerlukan bantuan.
Keadaan yang semakin menekan ini juga mencetuskan tekanan perasaan yang semakin kritikal.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan mengesahkan negara kini merekodkan purata dua kes bunuh diri setiap hari bagi tempoh 2019 hingga Mei 2021.
Kata beliau kepada Sinar Harian pada 30 Jun lalu, mengikut pecahan, kes bunuh diri yang dicatatkan pada tahun 2019 adalah sebanyak 609 kes manakala 631 kes bagi tahun 2020.
"Bagi tempoh lima bulan pertama iaitu tempoh Januari hingga Mei tahun 2021 pula sebanyak 468 kes bunuh diri telah direkodkan,” katanya.
Menurut seorang kaunselor, terdapat tiga fasa sebelum seseorang itu bertindak membunuh diri.
Fasa pertama, idea bagaimana untuk bunuh diri; fasa kedua memberitahu atau menulis di media sosial untuk bunuh diri dan fasa ketiga adalah bertindak.
Bagi mereka yang berhadapan dengan individu pada fasa kedua, adalah menjadi satu tanggungjawab untuk membantu individu berkenaan.
Satu cara yang harus dilakukan adalah cuba menasihatkan supaya individu berkenaan menangguhkan hasratnya untuk membunuh diri.
Mereka dalam fasa kedua ini hanya mempercayai orang tertentu sahaja dan jika anda terpilih, cuba berusaha menarik mereka agar bertemu psikiatri mahupun kaunselor.
Jangan sesekali memberi nasihat panjang lebar kerana dikhuatiri nasihat anda akan disalah tafsir.
Takut kalau-kalau kejadian yang tidak diingini itu berlaku, nama anda ada dalam nota bunuh diri. Selalulah berkata,"Aku tak pandai nak nasihat, lebih baik kita jumpa pakar.”
Semoga dengan sedikit perubahan ke atas prosedur SOP bagi negeri dalam Fasa 1 dan Fasa 2 di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN), situasi akan beransur pulih.
* Wan Normi Hasan ialah Editor Projek Khas Digital Sinar Harian