Liga-M: MFL kena tiru pengurusan risiko AFC....

Iklan
Pemain-pemain Harimau Malaya meraikan kemenangan ke atas Thailand di Stadium Al Makthoum di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada aksi Pusingan Kedua Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada 16 Jun lalu. Gambar kecil: Mohd Sadek -Foto: FAM

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) disaran menggunakan konsep karnival menjelang sepak mula baki saingan Liga Malaysia (Liga-M) yang dijadualkan bermula pada 24 Julai ini berikutan perkembangan terkini kadar kes Covid-19 dalam negara sejak kebelakangan ini.

Malah menurut Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Mohd Sadek Mustaffa, MFL perlu belajar daripada pengalaman sebelum ini yang menyaksikan pembatalan saingan Piala FA dan Piala Malaysia pada saat-saat akhir.

Iklan
Iklan

"MFL kali ini perlu lebih proaktif dalam aspek pengurusan risiko demi menyelamatkan industri bola sepak negara dan imej MFL itu sendiri termasuk komitmen terhadap penaja-penaja Liga-M, kerana tentunya komuniti bola sepak negara ini tidak mahu insiden musim lalu berulang lagi pada baki saingan musim ini.

"Langkah proaktif yang boleh diambil MFL adalah mencontohi pendekatan AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) dalam dua pertandingan sebelum ini iaitu baki saingan Kumpulan G Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu dan juga Kejuaraan Liga Juara-Juara Asia.

Iklan

"Alhamdulillah, dua pertandingan tersebut melibatkan penglibatan skuad Harimau Malaya dan pendahulu Liga Super, JDT, semuanya berjalan dengan sempurna dan lancar dengan konsep karnival yang menyaksikan tidak terlalu banyak pergerakan dalam kalangan pasukan dalam merentas negara biarpun mematuhi prosedur operasi standard yang ketat.

"Penganjuran secara karnival dapat mengurangkan risiko kepada setiap pemain, jurulatih, pegawai kelab Liga-M terdedah kepada jangkitan varian baharu Covid-19 yang bersifat airborne," kata Mohd Sadek kepada Sukan Sinar ketika diminta mengulas perkembangan semasa saingan Liga-M.

Iklan

Pada masa sama menurut Mohd Sadek, penganjuran secara karnival secara tidak langsung dapat mengurangkan kos operasi setiap pasukan selain mengelakkan risiko dijangkiti Covid-19.

"Pada satu sudut sekiranya dilaksanakan konsep karnival ia dapat mengurangkan kos perjalanan setiap kelab terutamanya kos penerbangan ke Sabah dan Sarawak selain prosedur operasi standard.

"Satu lagi, semua kelab Liga M akan sekali lagi berawayday baki mengharungi baki saingan liga, ini bermakna akan berlaku pergerakan dari satu kawasan ke satu kawasan yang mendedahkan risiko kepada kebolehjangkitan.

"Saya percaya kebanyakan pemain Liga Malaysia sudah pun mendapat suntikan dos kedua vaksinasi Covid-19 masing-masing sebelum ini.

"Namun harus diingat setiap individu masih berisiko dijangkiti walaupun sudah menerima suntikan dua dos vaksinasi sebelum ini, cumanya tidak seteruk jika tidak menerima suntikan vaksin. Contoh nyata kita boleh tengok apa yang berlaku terhadap beberapa kes melibatkan individu di Sukan Olimpik Tokyo 2020 pada ketika ini," katanya.

Ditanya mengenai venue, Mohd Sadek menyifatkan perkara itu bukan masalah besar kerana MFL boleh mengunakan venue yang berada dalam fasa kedua Pelan Pemulihan Negara yang melibatkan beberapa negeri di utara dan pantai timur.

Jelas Mohd Sadek lagi, beliau percaya tidak juga timbul masalah kepadatan jadual perlawanan kerana MFL boleh mengadakan perlawanan pada waktu siang dan malam seperti sebelum ini.

"Masalah logistik juga tidak timbul sekiranya MFL mengadakan kerjasama pintar dengan Majlis Sukan Negeri berkenaan pengunaan kemudahan latihan dan sebagainya.

"MFL juga boleh memohon jasa baik kerajaan negeri untuk pemberian diskaun sekiranya mengunakan kemudahan sukan sepanjang tempoh berlangsung saingan karnival berkenaan.

"Sekiranya konsep karnival ini dilaksanakan saya percaya saingan Liga-M akan selesai dalam tempoh tiga keempat minggu," katanya

Namun jelas Mohd Sadek lagi sekiranya pentadbir liga itu masih berhasrat untuk meneruskan baki saingan dengan penjadualan yang menyaksikan pergerakan kelab seperti telah dirancang, mereka disaran mengadakan kerjasama pintar dengan pusat perubatan pakar daripada bergantung sepenuhnya dengan Kementerian Kesihatan sekiranya berlaku jangkitan terhadap komuniti Liga-M berkenaan.

"Cuma yang saya sedih sikit adalah kerana masih terdapat kelab Liga-M yang masih bergantung harap kepada doktor persatuan seperti sebelum ini, tidak seperti kelab Johor Darul Ta'zim yang mempunyai pasukan perubatan khas mereka tersendiri.

"Satu lagi saya lihat MFL terlalu banyak bergantung kepada Kementerian Kesihatan yang sememangnya pada ketika ini lebih terarah menyelesaikan dan menguruskan perihal berkaitan Covid-19 yang menimpa komuniti.

"Dalam situasi sekarang ini adalah lebih baik MFL engage dengan pusat perubatan pakar seperti KPJ yang mempunyai cawangan di setiap negeri bagi sebagai langkah proaktif berjaga-jaga.

"Sekiranya berlaku kes Covid-19 dalam kalangan pemain, jurulatih, pengurus atau kakitangan kelab Liga-M, mereka boleh sahaja dirujuk terus kepada pusat perubatan berdekatan,” katanya lagi.

Untuk rekod, varian terbaharu Covid-19, Delta (B.1.617.2) pertama kali dikesan di Maharashtra, India pada Oktober tahun lalu boleh merebak dengan cepat dalam masa hanya 15 saat melalui udara.