Jual vaksin sampai RM800 satu dos

Iklan
Kegiatan menjual vaksin secara haram didakwa berlaku apabila harga satu dos vaksin dijual antara RM200 hingga RM800. - Gambar hiasan

SHAH ALAM - Perbuatan khianat menjual vaksin yang disediakan oleh kerajaan secara haram didakwa sememangnya berlaku di beberapa buah pusat pemberian vaksin (PPV) di sekitar Lembah Klang.

Satu sumber daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendedahkan kepada Sinar Harian bahawa ada segelintir pihak tidak berintegriti menjual vaksin bermula dari RM200 sehingga RM800 untuk satu dos.

Iklan
Iklan

Menurut sumber, harga yang dikenakan adalah sangat tinggi, sedangkan kerajaan telah menyediakannya secara percuma kepada orang ramai.

"Semua ini dilakukan sebab tamak untuk buat duit tepi secara mudah.

Iklan

"Apa yang difahamkan, ada kelompok yang tidak bertanggungjawab ini sangat berani kerana mereka menjual secara face to face atau bersemuka secara terus,” katanya kepada kru Rasuah Busters Sinar Harian.

Mengulas lanjut, sumber berkata, sindiket terancang itu menjual stok vaksin yang disediakan oleh KKM di beberapa PPV itu sendiri di sekitar Lembah Klang.

Iklan

Sumber berkata, antara taktik licik yang digunakan oleh sindiket tersebut adalah dengan menukar nama penerima di dalam sistem pendaftaran sistem vaksin.

Selain itu kata sumber, permohonan vaksin diluluskan kepada mereka yang sanggup membayarnya walaupun dengan harga yang tinggi.

"Ada juga yang menjual vaksin ini dengan mengambil daripada slot allocation atau peruntukan kepada individu yang tidak dapat datang pada hari temujanji kerana mempunyai urusan,” katanya.

Seorang lelaki mendakwa menerima suntikan picagari kosong di sebuah PPV di ibu negara pada 17 Julai.

Kata sumber lagi, kejadian penjualan vaksin secara haram mungkin berlaku di tempat tertentu dan melibatkan pihak yang berada di lokasi PPV.

Ditanya sama ada kes seumpama itu berjaya dikesan, sumber berkata, terdapat kes yang berjaya dihidu petugas lain atau pihaknya mendapat aduan daripada orang ramai.

Jelasnya, memang ada petugas dalaman sendiri yang melakukan kes penjualan vaksin seperti mana yang dilaporkan pihak media.

"Namun kes seumpama ini semakin berkurangan sebab ramai yang 'kantoi' dan ia tidak berbaloi jika ditangkap. Ia sangat berisiko,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Jual slot temu janji satu penipuan

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pemeriksa Fraud Bertauliah (ACFE)-Cawangan Malaysia, Datuk Seri Akhbar Satar berkata, isu berkaitan penjualan vaksin secara haram tidak sepatutnya berlaku kerana ia boleh menggugat kepercayaan rakyat kepada pihak berkuasa.

"Hal ini amat memerlukan pemantauan oleh ketua-ketua yang terlibat dan perlu ambil tindakan tegas yang mencemarkan nama baik kerajaan.

"Agihan vaksin perlu dibuat dengan adil dan semua berhak dapatkan sama rata," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, orang ramai juga disaran untuk melaporkan terus kepada pihak berkuasa sekiranya mengetahui ada kegiatan penjualan slot vaksin Covid-19.

Dalam pada itu, pada 12 Julai, Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) menubuhkan sebuah Jawatankuasa Integriti dan Siasatan bagi menangani isu penjualan slot janji temu vaksinasi yang dilaporkan sebelum ini.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, jawatankuasa itu turut dianggotai wakil daripada CITF, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Susulan itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, satu laporan polis diterima pihaknya dibuat oleh seorang petugas di PPV di Kuala Lumpur.

Sebelum ini turut tular beberapa video apabila ada individu yang mendakwa mereka menerima suntikan vaksin ‘kosong’ di pusat PPV.

Antara situasi yang dialami mereka sama ada jarum suntikan vaksin diterima kosong dan tidak diisi dengan vaksin atau petugas di PPV hanya menyuntik jarum tanpa menekan bahagian atas picagari.

Dalam pada itu, beberapa aktivis pertubuhan bukan kerajaan turut mengaitkan perbuatan menyuntik picagari kosong dengan aktiviti penjualan vaksin.

Malah, mereka meminta CITF membuat siasatan menyeluruh tentang kemungkinan terdapat lebih banyak kes yang sama berlaku tanpa disedari penerima vaksin.

Salah satu kes picagari vaksin kosong di Sungai Petani dan petugas berkenaan sudah dikenakan tindakan tatatertib.

Antara kronologi kes-kes picagari vaksin kosong


7 Julai - Seorang individu membuat laporan polis mendakwa menerima suntikan vaksin jenis Pfizer ‘kosong’ ketika mendapatkan suntikan di Hospital Banting, Kuala Langat pada 6 Julai.

13 Julai - Polis menyiasat dakwaan penambahan 'luar biasa' slot janji temu vaksinasi Covid-19 di sebuah PPV di ibu negara. Ia susulan laporan dibuat seorang petugas di PPV berkenaan mendakwa wujud lebihan penerima vaksin tersenarai dalam aplikasi MySejahtera, berbanding jumlah vaksin diperuntukkan di lokasi terbabit.

17 Julai - Seorang penerima vaksin mendakwa, petugas di pusat vaksin di Kem Tentera Lapangan Terbang Sungai Petani tidak menekan bahagian atas picagari vaksin. CITF telah mengambil tindakan tatatertib terhadap petugas terbabit.

17 Julai - CITF juga mengakui satu lagi insiden sama berlaku di Pusat Pameran Perdagangan Antarabangsa Malaysia dan pengadu telah membuat laporan polis."Yang dia lakukan hanyalah masukkan jarum dan keluarkan tanpa menyuntik kandungan dalam picagari ke dalam badan saya,” kata pengadu menerusi akaun Facebooknya.