13 laporan polis libat dakwaan pemberian vaksin kosong

Iklan
Abd Jalil Hassan

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia menerima 13 laporan berkaitan dakwaan pemberian vaksin kosong oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di beberapa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sejak beberapa hari yang lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, pihaknya menerima laporan sebanyak tujuh kes di Kuala Lumpur, tiga kes di Selangor dan masing-masing satu kes di Kedah, Perak dan Melaka

Iklan
Iklan

"Siasatan dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah. Bagi kes melibatkan penawaran palsu atau penipuan penjualan vaksin di pasaran, siasatan akan dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil," katanya melalui kenyataan pada Jumaat.

Abd Jalil berkata, pihaknya ingin menasihatkan orang ramai agar sentiasa peka dan cakna dengan inisiatif vaksinasi yang sedang dilaksanakan kerajaan dalam usaha membendung penipuan berkaitan penjualan vaksin Covid-19.

Iklan

"Sehingga kini vaksin Covid-19 hanya dibekalkan oleh kerajaan Malaysia mengikut pelan imunisasi Covid-19 kebangsaan dan sebarang penjualan atau pembekalan vaksin melalui mana-mana medium lain termasuk dalam talian adalah tidak dibenarkan," katanya.

Abd Jalil turut mengingatkan orang ramai agar menjadi pengguna media sosial yang bijak dan berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan atau pun ciapan yang belum dipastikan kebenarannya terutama bagi isu-isu sensitif seperti pemberian vaksin.

Iklan

"Tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana pihak yang didapati membuat laporan palsu berhubung isu ini," katanya.