KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menutup tiga premis yang dikesan menjalankan aktiviti tidak bermoral (urutan seks) menerusi Ops Patuh terhadap premis perniagaan komersial pada 16 hingga 22 Julai lalu.
Unit Media DBKL berkata, turut disita termasuk kondom, minyak pelincir, video rekoder dan tindakan itu dilakukan di bawah Seksyen 101(1)(v), Akta Kerajaan Tempatan 1976.
Menurutnya, selain itu, sebanyak 10 notis kompaun telah dikeluarkan di bawah Akta 342 terhadap pemilik premis atau syarikat yang ingkar terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang ditetapkan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"DBKL turut mengeluarkan 38 notis kompaun pelbagai kesalahan lain antaranya 24 notis kompaun UUK 20(1)(b) di bawah UUK Pelesenan Tred, Perniagaan & Perindustrian (WPKL) 2016; lapan notis kompaun UUK 3(1); dua notis kompaun UUK 22(1)(b), UUK Petempatan Makanan (WPKL) 2016 serta lain-lain," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.