'Gagal tunai janji tapi dakwa mampu selesai masalah Covid-19'

Iklan
Abdul Hadi

SHAH ALAM - Pas meminta rakyat berfikir secara matang terhadap pihak yang mendakwa mampu menyelesaikan masalah Covid-19, sedangkan sebelum ini gagal menunaikan janji manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, dakwaan tersebut hanya amalan politiking murahan untuk menipu rakyat yang lemah akal, mudah lupa atau jahil dalam semua perkara.

Iklan
Iklan

"Mereka lupa betapa janji yang lalu tenggelam dalam perbalahan siapa yang patut menjadi Perdana Menteri dan bukannya mereka berusaha memenuhi kewajipan bagi menunaikan janji manifesto. Setelah kerajaannya hilang, pihak lain pula yang dipersalahkan.

"Berfikirlah dengan matang dan sejahtera, adakah mereka yang tidak mampu menunaikan janji PRU14 yang sedikit, tiba-tiba hari ini mendakwa mampu menyelesaikan masalah Covid-19 yang sedang merebak ke seluruh alam di muka bumi.

Iklan

"Walhal sehingga sekarang belum ada mana-mana negara yang berjaya menanganinya. Adakah mereka yang sebegitu rupa masih boleh dipercayai, sedangkan mereka baru sahaja menipu rakyat dengan janji manifesto yang tidak mampu ditunaikan? ” katanya menerusi Facebook beliau pada Jumaat.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, berpolitik tidak seharusnya menjadi seperti penjual ubat menipu pelanggan dengan menggunakan cara kotor yang diharamkan.

Iklan

Menurutnya, amalan politik yang memisahkan sempadan agama dan moral luhur tidak boleh diterima oleh masyarakat beragama, berakhlak serta berakal sihat.

"Kita telah berjaya menjatuhkan kerajaan tidak bermoral itu dengan dibantu oleh mereka yang sedar akan kebocoran bahteranya sendiri.

"Kemudian digantikan dengan kerajaan yang bertanggungjawab dengan penuh kesabaran dan menunaikan kewajipan kepada rakyat tanpa sebarang janji manis.

"Perkara yang wajib hendaklah ditunaikan dan tidak semestinya dilakukan hanya setelah berjanji. Ia tetap wajib ditunaikan, malah berdosa sekiranya tidak ditunaikan,” ujar beliau.