KUALA LUMPUR - Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang membuka tirai secara rasmi hari ini, berpotensi besar untuk menamatkan penantian pingat emas pertama negara pada temasya sukan terbesar dunia itu.
Pengarah Bahagian Atlet Majlis Sukan Negara (MSN) Jefri Ngadirin berkata, ia berdasarkan tahap persediaan dan latihan atlet serta pelaburan dibuat untuk menghadapi temasya sukan berkenaan, terutama bagi tiga sukan yang menjadi prospek utama - berbasikal, badminton dan terjun.
Menurut beliau, persiapan kontinjen negara sudah dimulakan selepas tamat Sukan Olimpik Rio 2016, khususnya projek khas yang dilaksanakan bagi sukan berbasikal untuk memastikan Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom bersedia 100 peratus menjelang Olimpik Tokyo.
Justeru, Jefri berharap dengan pelaburan dan persediaan tersebut, Mohd Azizulhasni dan Muhammad Shah Firdaus dapat membuktikan mereka adalah yang terbaik di dunia dengan memenangi pingat emas sulung Olimpik buat negara.
"Azizulhasni sejak tahun lepas mengumumkan beliau menginginkan pingat emas pertama untuk Malaysia,” katanya pada program Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk Demi Malaysia, malam tadi.
Skuad basikal akan tampil dengan basikal model WX-R Vorteq, yang dibangunkan menerusi projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) berjumlah RM13 juta, antara Institut Sukan Negara (ISN) dengan syarikat dari United Kingdom, TOTALSIM Ltd.
Mengulas mengenai undian bagi barisan pemain badminton negara yang dilihat agak sukar, Jefri yakin mereka dapat mencapai kejayaan berdasarkan persiapan dan pendedahan menyertai beberapa kejohanan antarabangsa sebelum ini.
"Lee Zii Jia pun sudah menang di (kejohanan) All England, pemain beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, memang sudah bersedia dan kita harap mereka dapat menunjukkan prestasi terbaik mereka di Olimpik kali ini,” katanya.
Sementara itu, Jefri percaya ratu terjun, Pandelela Rinong mampu menyumbang pingat buat negara susulan prestasi mengagumkan yang dipamerkan atlet berusia 28 tahun itu apabila meraih pingat emas acara 10m platform individu pada Kejohanan Piala Dunia Terjun di Jepun, Mei lepas.
"Banyak telah dipertingkatkan oleh pasukan dan beliau (Pandelela) selepas balik dari Tokyo pada Mei lepas. Kita harap mata yang akan dicapai di Olimpik akan membolehkan beliau berada dalam podium finish.
"Namun, pada masa sama, kita tidak melihat kelibat penerjun dari China dan Australia dalam acara tersebut. Kita tidak dapat melihat perbandingan dengan penerjun dari China sebab mereka tidak masuk bertanding sejak 2020. Jadi kita tidak tahu sejauh mana peningkatan atau penurunan prestasi mereka sehingga kejohanan (Olimpik) pada Selasa nanti,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, antara perkara perlu diperkemaskan sebaik berakhirnya temasya Olimpik 2020 itu adalah tumpuan terhadap jenis sukan bakal dipertandingkan pada temasya Olimpik akan datang, serta sukan-sukan baharu di Malaysia yang mungkin boleh memberikan pingat buat negara. - Bernama