SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pengasingan pekerja mengikut 'line pengeluaran' (pengeluaran) menjadi antara amalan prosedur operasi Standard (SOP) tambahan yang dilaksanakan Syarikat pengeluar produk roti terbesar negara, Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd (GBSB) bagi mengawal penularan Covid-19 seterusnya memastikan operasi pengeluaran produknya berjalan lancar.
Pengurus Besar Pemasaran GBSB, Hazlinah Harun berkata, terdapat 19 jenis pengeluaran di lapan kilang yang melibatkan kumpulan-kumpulan pekerja tertentu diasingkan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dilaksanakan dan ia membabitkan penginapan di asrama selain kawalan dari mula mereka masuk bekerja di kilang.
Menurutnya, dengan SOP tambahan selain SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), ia memudahkan kawalan dan pencegahan sekiranya terdapat kes positif Covid-19 yang dikenal pasti.
"Dengan perlaksanaan SOP tambahan ini, kita dapat mengenal pasti kontak rapat dan memastikan mereka kuarantin serta dapatkan rawatan. Kawalan di asrama dan kilang juga membolehkan komunikasi lebih cepat dan tepat agar tindakan pantas dapat diambil.
"Setakat ini walaupun ada beberapa kes positif, ia dapat diuruskan dengan baik dan masih terkawal. Pernah ada kilang yang perlu ditutup (kerana ada kes positif), namun bukan serentak," katanya pada sidang akhbar ketika Ops Patuh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) pada Jumaat.
Hazlinah menjelaskan, GBSB mempunyai 2,871 pekerja yang mana 1,000 daripadanya adalah pekerja yang sudah berkhidmat sejak lebih 10 tahun dan syarikat bertanggungjawab memastikan kebajikan serta kesihatan pekerja terpelihara.
Katanya, sehingga kini seramai 92 peratus pekerja telah menerima suntikan pertama vaksin Covid-19 dan vaksinasi kedua dijangka diperolehi dalam masa terdekat.
"Kami ada tanggungjawab untuk mengeluarkan produk bagi pengguna Malaysia dan akan memperbaiki SOP daripada masa ke masa," katanya.
Dalam pada itu, Pengurus Kanan Sistem Pengurusan dan Jawatankuasa Institusi Hubungan Halal GBSB, Azmy Roslin menjelaskan, setiap jabatan dalam syarikat diberikan garis panduan menyeluruh bagi perlaksanaan SOP yang ditetapkan.
Ujarnya, audit bagi pematuhan SOP juga dibuat setiap hari dalam jabatan dan setiap bulan oleh wakil jabatan berbeza bagi memastikan semua pekerja mematuhi SOP ditetapkan.
"Ciri-ciri perlaksanaan SOP ini juga termasuk pemantauan berterusan kes Covid-19 dengan membuat deklarasi kesihatan melalui aplikasi dalaman iaitu MyGardenia. Setiap pekerja juga diasingkan mengikut waktu daftar masuk yang berbeza dan hanya yang berstatus risiko rendah dibenarkan masuk.
"Kantin juga berasingan antara pekerja-pekerja dari line pengeluaran yang berlainan selain pengasingan pekerja yang tinggal di asrama mengikut kilang serta line pengeluaran," katanya.